top of page

PH gabungan politik dua dekad, tawar kestabilan politik untuk PRN Melaka

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
29 minutes ago
2 min read

Pakatan Harapan (PH) merupakan gabungan politik yang dibina atas nilai setia kawan sejak September 1998 dan terus bertahan melalui pelbagai ujian, termasuk daripada pembangkang sehingga menerajui Kerajaan Persekutuan.


Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kekuatan gabungan itu terletak pada ikatan perjuangan yang melangkaui hubungan politik biasa.


"PH gabungan politik telah teruji sekian lama. Ini adalah rakan perjuangan setia, bukan cerita dua, tiga tahun berkawan.


"Ini kisah bermula sejak September 1998 sehingga sekarang," katanya ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH di pekarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, malam ini.


Menurutnya, nilai setia kawan menjadi asas penting yang menyatukan parti-parti dalam PH, sekali gus membolehkan gabungan itu mengharungi pelbagai cabaran sepanjang perjalanan politik selama dua dekad.


Beliau berkata, PH perlu berbangga dengan identiti sebagai gabungan politik berasaskan nilai kerana kekuatan hubungan itu menjadi penentu ketahanan pakatan berkenaan ketika berdepan ujian.


"PH satu gabungan politik yang kita berbangga dengannya kerana gabungan ini diikat atas setia kawan. Ini satu nilai politik sangat mahal," katanya.


Saifuddin berkata, perjalanan PH daripada tempoh panjang sebagai pembangkang sehingga memegang amanah pemerintahan turut membawa cabaran berbeza, khususnya dalam menguruskan kuasa.


Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah itu, tidak semua gabungan politik mampu bertahan apabila diuji dengan kuasa, justeru PH perlu terus berpegang pada nilai perjuangan dan mengutamakan kepentingan rakyat.


"Yang datang daripada pengerusi PH tidak selamanya benar dan boleh ditegur, tetapi ada adab dan tertibnya," katanya, sambil menegaskan bahawa perbezaan pandangan perlu diuruskan secara berhemah.


Empat asas utama


Dalam pada itu, beliau menggariskan empat asas utama yang perlu menjadi keutamaan PH, iaitu memastikan kestabilan politik, memacu kemakmuran ekonomi, menjaga kebajikan rakyat dan memperkukuh tadbir urus yang baik.


Katanya, pengurusan kewangan yang berhemah penting bagi memastikan wang negara tidak mengalami ketirisan, kebocoran atau perbelanjaan berlebihan.


"Kita letakkan kestabilan politik sebagai asas. Kedua, kita kerja kuat bawa kemakmuran ekonomi. Ketiga, kita bersungguh jaga kebajikan rakyat. Keempat, kunci kepada semua itu adalah tadbir urus yang baik. Kewangan jangan bocor, tiris dan terlebih belanja," katanya.


Saifuddin berkata, prinsip pemerintahan berasaskan tadbir urus baik bukan sekadar menjadi komitmen PH di peringkat Persekutuan, malah akan diketengahkan sebagai tawaran kepada pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


"Tawaran kita sangat jelas. Kestabilan politik, memakmurkan ekonomi, fokus kebajikan rakyat dan tawaran menegakkan satu bentuk pemerintahan yang berasaskan tatakelola baik," katanya.


Beliau menegaskan, PH perlu terus membuktikan komitmen terhadap nilai perjuangan dan mutu pentadbiran supaya kepercayaan rakyat dapat dipelihara, termasuk ketika gabungan itu berdepan PRN pada pertengahan November ini.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page