top of page

Lebih 5,000 hadir majlis pengumuman calon PH Melaka

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
37 minutes ago
2 min read
Anak muda bersemangat mengibarkan bendera PH dalam majlis pengumuman calon PRN Melaka
Anak muda bersemangat mengibarkan bendera PH dalam majlis pengumuman calon PRN Melaka

Lebih 5,000 orang menghadiri Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) di perkarangan Stadium Hang Jebat, malam ini, dalam suasana meriah dengan kehadiran penyokong serta pelbagai aktiviti sampingan.


Suasana di lokasi program turut dimeriahkan dengan gerai-gerai jualan yang menarik perhatian pengunjung, sekali gus mewujudkan suasana seperti pesta rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


Selain itu, konvoi kira-kira 350 motosikal yang disertai anak muda Melaka turut memeriahkan program berkenaan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berucap pada majlis itu, turut memuji semangat dan kehadiran orang ramai yang memenuhi kawasan program.


Beliau menyifatkan sambutan yang diterima sebagai luar biasa, sambil membangkitkan semangat hadirin yang hadir dengan penuh bertenaga bagi mengikuti majlis berkenaan.


Anwar berkata, semangat itu perlu diterjemahkan kepada usaha bersama untuk membawa perubahan demi masa depan rakyat Melaka, khususnya generasi muda dan keluarga mereka.


Khemah yang disediakan penuh dengan penyokong PH yang rata rata datang dari Melaka
Khemah yang disediakan penuh dengan penyokong PH yang rata rata datang dari Melaka

Anwar turut memuji sambutan luar biasa rakyat Melaka yang hadir memenuhi kawasan program, sambil menyifatkan semangat mereka sebagai petanda kesungguhan untuk membawa perubahan kepada negeri itu.


"Tengok-tengok belah kanan. Sampai hujung sana. Ni belah kiri, belakang. Bukan saja hadir, hadir dengan semangat. Matanya cerah. Semangatnya tinggi," katanya.


Majlis itu turut menyaksikan pengumuman calon PH yang bakal bertanding serta pelancaran jentera pilihan raya bagi menggerakkan persiapan parti menghadapi PRN Melaka.


Anwar turut mengingatkan rakyat supaya menolak politik yang memainkan sentimen perkauman dan agama sehingga mencetuskan kebencian serta memecah-belahkan masyarakat.


Beliau berkata, kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan rakyat berbilang kaum yang bersama-sama membina negara sejak perjuangan kemerdekaan.


Menurutnya, kempen pilihan raya seharusnya digunakan untuk menerangkan dasar, pencapaian dan perancangan kepada rakyat, bukannya mencaci atau memburukkan pihak lawan.


Beliau berharap semangat kerjasama dan perpaduan terus dipertahankan bagi memastikan pembangunan Melaka dapat dilaksanakan demi kepentingan semua lapisan masyarakat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page