Pemergian ‘Pak Muss’ satu kehilangan besar buat KEADILAN Pulau Pinang
- Redzuan Shamsudin

- 6 days ago
- 2 min read

Parti Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) terutama di Pulau Pinang kehilangan seorang tokoh penting apabila Datuk Mustafa Kamal, atau lebih dikenali sebagai Pak Muss meninggal dunia kelmarin.
Allahyarham yang merupakan salah seorang pengasas KEADILAN Pulau Pinang serta mantan Pengarah Pilihanraya negeri itu disifatkan sebagai figura yang amat disanjungi dalam kalangan ahli dan kepimpinan parti.
Menurut ADUN Batu Uban, A Kumaresan, beliau amat berdukacita atas pemergian tokoh berkenaan, sambil menyifatkan Allahyarham merupakan mentor dan guru politik yang banyak membentuk perjalanan kerjayanya.
"Saya sangat rapat dengan Allahyarham, beliau merupakan salah seorang guru politik saya dan banyak membantu dalam perjalanan karier politik saya. Allahyarham juga boleh dianggap sebagai pakar strategik dalam kerja-kerja pilihanraya," katanya.
Menurut beliau, sepanjang Allahyarham memegang jawatan Pengarah Pilihanraya KEADILAN Pulau Pinang, parti itu pernah mencatatkan kemenangan 100 peratus bagi semua kerusi yang ditandingi.
"Allahyarham sangat teliti dalam setiap tugasan. Setiap perkara, strategi politik dan keputusan dinilai dengan penuh ketelitian," katanya.
Beliau turut mengimbas kenangan ketika pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2018 (PRU 2018), apabila Allahyarham memainkan peranan besar dalam memberi panduan dari proses pencalonan hingga tempoh berkempen.
"Dari borang pencalonan sehinggalah ke hari penamaan calon dan tempoh kempen, Allahyarham sentiasa berhubung serta membantu saya sehingga saya dipilih sebagai wakil rakyat," ujarnya.
Tambah beliau, Allahyarham sering menekankan bahawa politik adalah satu seni, dengan pesanan yang masih diingati: “It’s not about what’s right or what’s best, it’s about what you can actually get done.”
Sehubungan itu, Kumaresan menzahirkan penghargaan atas segala tunjuk ajar yang diberikan oleh Pak Muss sepanjang hayatnya.
"Saya amat bertuah kerana berpeluang menerima tunjuk ajar dan menimba ilmu politik daripada beliau. Terima kasih Allahyarham atas segala nasihat dan bimbingan yang telah membentuk saya menjadi seorang ahli politik yang lebih baik," katanya.
Beliau turut memaklumkan sempat menziarahi Allahyarham ketika dirawat di hospital, selain hadir memberikan penghormatan terakhir di Masjid Universiti Sains Malaysia.
Salam takziah turut dizahirkan kepada seluruh keluarga Allahyarham, dan menegaskan bahawa jasa serta pengorbanannya akan sentiasa dikenang dalam perjuangan parti.




Comments