Halang kereta penjual nasi lemak: Rakyat tempatan, asing wajib patuh undang undang
- Suara Keadilan

- Apr 5
- 2 min read
Updated: Apr 6

Insiden tular pertikaian tempat letak kereta melibatkan seorang wanita tempatan baru-baru ini telah mencetuskan reaksi tegas Batalion Anak Muda (BAM) yang mengecam tindakan individu didakwa merupakan seorang warganegara asing.
Pengasas bersama merangkap Setiausaha Agung BAM, M Jay Raj P Muresh, berkata mana-mana individu sama ada pelancong, pekerja, pelajar mahupun pemilik perniagaan yang berada di tanah Malaysia tertakluk kepada undang-undang, budaya tempatan dan adab asas kemanusiaan.
"BAM menegaskan bahawa insiden ini berpunca daripada kegagalan individu dalam mematuhi adab dan undang-undang.
"Kejadian seperti ini tidak boleh dipandang ringan. Akauntabiliti mesti ditegakkan secara tegas dan adil tanpa mengira kewarganegaraan dan setiap warga asing di Malaysia perlu sedar bahawa kehadiran mereka datang bersama tanggungjawab untuk menghormati undang-undang, adab serta sensitiviti tempatan.
"BAM berpandangan, semua pihak berkepentingan termasuk pihak berkaitan wajar memainkan peranan dalam memastikan rakyat mereka mematuhi norma dan undang-undang tempatan.
"Adab itu bukan pilihan (tapi) ia adalah syarat untuk hidup bersama dalam sebuah masyarakat yang bertamadun.
"Kita menyambut setiap insan dengan tangan terbuka, tetapi maruah rakyat dan hormat kepada negara ini mesti sentiasa dipelihara," kata beliau dalam kenyataan.
Beliau merujuk kepada insiden pertikaian tempat letak kereta yang tersebar luas di media sosial melibatkan seorang wanita tempatan dikenali sebagai Kak Ayu atau lebih dikenali sebagai 'Ayu Nasi Lemak RM1' di TikTok.
Jay Raj menyifatkan, insiden berkenaan sebagai cerminan kepada kebimbangan yang lebih besar berkaitan tingkah laku sivil dan rasa hormat terhadap masyarakat Malaysia.
Katanya, berdasarkan maklumat dan rakaman yang telah tersebar, lelaki berkenaan didakwa telah menghalang kenderaan mangsa untuk tempoh yang panjang menyebabkan wanita itu tidak dapat keluar.
"Walaupun mangsa jelas berada dalam tekanan emosi yang teruk, tidak kelihatan sebarang usaha untuk mengambil tanggungjawab atau meredakan keadaan berdasarkan rakaman yang tular.
"Kenyataan ini adalah berdasarkan maklumat dan rakaman yang telah tersebar secara umum dan BAM menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta menentukan sebarang tindakan lanjut.
"BAM mengakui bahawa walaupun reaksi emosi mangsa seterusnya telah menarik perhatian awam, namun punca sebenar insiden iaitu tindakan yang didakwa tidak bertanggungjawab (oleh) individu yang didakwa warga asing (itu) tidak boleh diabaikan.
"Mangsa akhirnya terpaksa tampil memohon maaf secara terbuka, (sekali gus) menimbulkan persoalan serius mengenai keadilan dalam persepsi masyarakat," ujarnya lagi.



Comments