Pemberian Khas RM1.5 bilion kukuh pelaksanaan hak, kepentingan Sarawak


KEADILAN Sarikei menyifatkan peningkatan Pemberian Khas kepada Sarawak daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion setahun sebagai satu langkah penting dalam usaha memperkukuh pelaksanaan hak dan kepentingan Sarawak berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee Chin Kui berkata, dalam tempoh pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, kadar interim telah dinaikkan secara berturut-turut daripada RM16 juta kepada RM300 juta, kemudian RM600 juta dan akhirnya mencecah RM1.5 bilion.
Susulan pengumuman tersebut, Bruce berkata pihaknya menghargai langkah berkenaan yang disifatkan sebagai perkembangan penting dalam usaha menyelesaikan perkara-perkara berkaitan MA63 melalui pendekatan rundingan, kerjasama dan semangat federalisme yang lebih konstruktif.
"KEADILAN Sarikei menyambut baik dan merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar atas beberapa pengumuman penting sempena Sambutan Hari Malaysia Ke-63 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada 16 September lalu.
"Pada masa yang sama, kami berpandangan bahawa peningkatan Pemberian Khas ini hendaklah disusuli dengan pengurusan dana yang berintegriti, telus, berakauntabiliti dan berorientasikan hasil.

"Setiap ringgit yang diterima mesti memberi manfaat yang nyata kepada rakyat, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan dengan jurang pembangunan," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Bruce berkata, Kerajaan Sarawak diharap dapat memberikan keutamaan kepada beberapa perkara termasuk bekalan air bersih, infrastruktur telekomunikasi, jalan raya dan jaringan perhubungan serta pembangunan yang lebih seimbang.
Dana tersebut ujarnya turut diharap dapat dimanfaatkan untuk mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar serta antara kawasan yang sudah maju dengan kawasan pedalaman.
Katanya, pembangunan Sarawak hendaklah dirasai secara lebih menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi, latar belakang dan kedudukan ekonomi.




Comments