Pemberian Khas: Kerajaan Madani pastikan hak rakyat Sabah ditunaikan
- Suara Keadilan

- Oct 26, 2025
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kerajaan MADANI pimpinannya tidak pernah mengabaikan hak Sabah, malah banyak perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah pun diselesaikan.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI terus komited memastikan hak dan keperluan rakyat Sabah dipenuhi melalui Pemberian Khas dengan semangat Perjanjian MA63.
Tegas PMX lagi, ianya bukan sekadar angka tetapi lambang kesungguhan Kerajaan MADANI memastikan kesejahteraan rakyat di Sabah terus terbela.
Antaranya, kata beliau, Sabah kini mengurus sendiri bekalan letrik melalui Syarikat Sabah Elektrik Sdn Bhd (SESB).

Selain itu, katanya, Jabatan Kerjaraya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Air Sabah diberi kuasa lebih besar untuk meluluskan projeknya sendiri.
"Malah Sabah dan Sarawak kini ada wakil tetap dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," ujarnya.
Anwar berkata demikian, ketika menyampaikan sesi penerangan khas Perdana Menteri berkaitan isu pemberian khas Sabah di Dewan Rakyat minggu lalu.
Berkenaan bantuan kewangan untuk Sabah, Perdana Menteri berkata, pemberian oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah adalah melebihi jika dibandingkan hasil kutipan melalui cukai di negeri itu.
Pemberian khas untuk Sabah
Sebelum ni, katanya, Sabah hanya mendapat pemberian khas sebanyak RM26.7 juta setahun, tetapi ia telah dinaikkan sedikit demi sedikit sehingga berjumlah RM600 juta bagi tahun 2025.
Angka pemberian khas itu adalah seperti berikut:-
2019 - RM53.4 juta
2022 - RM125.6 juta
2023 - RM300 juta
2025 - RM600 juta
Tegas Anwar, semua pemberian khas berjumlah RM600 juta bagi peruntukan tahun 2025 itu sudah pun dibayar kepada Sabah pada 10 September 2025 baru-baru ini.
Anwar berkata, kerajaan pusat juga menyediakan peruntukan yang besar bagi belanja pembangunan untuk negeri Sabah.
Katanya, bagi tahun 2022, peruntukan yang diberi adalah RM13 bilion, 2023–2024 (RM14 bilion) dan untuk 2025–2026 (RM17 bilion).
"Sedangkan hasil yang dikutip di Sabah cuma sekitar RM10 bilion setahun.
"Ini bermakna, kerajaan pusat menyediakan lebih banyak peruntukan daripada hasil yang dikutip di Sabah," katanya lagi.
Perdana Menteri turut memaklumkan beberapa projek penting di Sabah yang kerajaan luluskan, antaranya pembinaan Pusat Jantung Sabah (RM125 juta), pembinaan Jalan Kalabakan ke Simanggaris (RM416 juta), projek elektrik Southern Link (RM200 juta), Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1B (RM14 bilion) dan projek Air Sabah (RM1 bilion).
Hasil minyak, gas
Bagi hasil minyak dan gas pula, Anwar berkata, kerana pusat memberi ruang seluasnya untuk Sabah mendapat lebih banyak manfaat daripada industri tersebut.
Semua itu, menurut Anwar dilaksnanakan melalui permetraian perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA) pada 2021, pemberian projek minyak dan gas bernilai RM2 bilion kepada kontraktor Sabah pada 2024 dan Sabah juga boleh mengutip cukai jualan petroleum yang menyumbang hasil tambahan sebanyak RM2 bilion sejak 2022.
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri lagi, Kerajaan MADANI sentiasa menghormati dan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini berkaitan 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah.
Perdana Menteri berkata, alasan penghakiman yang akan diterima akan diteliti sebelum kerajaan memutuskan sama ada mahu merayu atau sebaliknya, namun sebarang tindakan yang diambil nanti adalah bergantung nasihat Peguam Negara demi kebaikan dan kepentingan Sabah dan Malaysia seluruhnya -









Comments