top of page

Pembatalan projek di Sabah, Sarawak: Zahid perlu beri penjelasan menyeluruh

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
12 hours ago
2 min read

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sewajarnya memberikan penjelasan tuntas berhubung pembatalan projek jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak.


Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Mohd Nur Hilmie Milus (gambar) berkata, pembatalan projek jalan di luar bandar itu seolah-olah memberikan gambaran bahawa Kementerian Kewangan (MOF) menjadi punca kepada permasalahan tersebut.


Sedangkan katanya, pada 2 September lalu, MOF telah menjelaskan bahawa peruntukan jalan luar bandar Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) disalurkan sepenuhnya.


"Malah, rekod menunjukkan perbelanjaan KKDW bagi tahun 2023 hingga 2025 melebihi peruntukan asal yang diluluskan.


"Datuk Seri Zahid kemudiannya menjelaskan bahawa perbelanjaan tersebut masih berada dalam lingkungan peruntukan yang telah dipinda dan diluluskan.


"Persoalannya, jika peruntukan telah disalurkan dan penyelarasan kewangan telah diluluskan, mengapa masih timbul isu pembatalan projek jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak?


"Siapa sebenarnya yang membuat keputusan pembatalan tersebut? Apakah alasan sebenar dan di manakah berlakunya masalah perancangan serta penyelarasan kewangan?" tanyanya dalam satu kenyataan dikeluarkan berhubung isu berkenaan.


Nur Hilmie menyifatkan Ahmad Zahid bukan orang luar dalam pentadbiran Kerajaan MADANI, sebaliknya merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab secara langsung terhadap KKDW.


Oleh yang demikian katanya, adalah wajar Ahmad Zahid memberikan penjelasan yang tuntas, bukannya membiarkan isu pentadbiran ini menimbulkan pelbagai persepsi dan spekulasi politik.


"Jangan sampai kelemahan penyelarasan atau pengurusan peruntukan di peringkat kementerian akhirnya menimbulkan gambaran seolah-olah Perdana Menteri yang harus dipersalahkan.


"Rakyat Sabah dan Sarawak berhak mengetahui kedudukan sebenar. Jika terdapat kekangan kewangan, bentangkan faktanya. Jika projek dibatalkan, jelaskan siapakah yang mengarahkan serta apakah langkah penyelesaiannya," ujarnya lagi.


Kelmarin, media melaporkan kenyataan Ahmad Zahid yang mendakwa terdapat projek pembangunan luar bandar bagi tahun 2026 di Sabah dan Sarawak yang dibatalkan.


Menurut Ahmad Zahid arahan pembatalan itu dikeluarkan oleh KSU, namun beliau tidak memperincikan kementerian yang terlibat atau jumlah projek yang terjejas.


Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pembatalan berkenaan bukan sekadar melibatkan projek yang sudah diluluskan tetapi turut membabitkan projek yang sudah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page