top of page

CSA bukan perkara baharu, rakyat jadi pemenang terbesar – Dr Fuziah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
11 hours ago
2 min read
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh

Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bukan perkara baharu dalam landskap politik negara, sebaliknya kesinambungan usaha membentuk kestabilan politik bagi memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar demi kepentingan rakyat.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata Pakatan Harapan (PH) sendiri pernah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan pada 2021.


Beliau berkata, matlamat utama persefahaman itu adalah untuk memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran negara.


"Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bukanlah sesuatu yang baharu dalam landskap politik negara. Pada tahun 2021, Pakatan Harapan sendiri pernah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kerajaan ketika itu.


"Matlamat utamanya jelas, iaitu memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran demi kepentingan rakyat," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurut Setiausaha Agung KEADILAN itu, kerjasama politik menerusi perjanjian seumpama itu boleh mewujudkan situasi menang-menang kepada pihak yang terlibat, selain memberikan ruang kepada kerajaan melaksanakan agenda reformasi dan pembangunan negara.


Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa manfaat terbesar daripada sebarang persefahaman politik perlu dinikmati oleh rakyat, bukannya terhad kepada parti atau pihak yang menandatanganinya.


"Saya melihat kerjasama seperti ini sebagai situasi menang-menang (win-win situation). Pihak yang menandatangani perjanjian mendapat manfaat, manakala kerajaan memperoleh kestabilan untuk melaksanakan agenda reformasi serta pembangunan negara.


"Namun, pemenang paling besar mestilah rakyat, kerana akhirnya setiap persefahaman politik perlu diterjemahkan kepada manfaat dan kesejahteraan rakyat," katanya.


Kerajaan MADANI petang ini memperoleh sokongan enam Ahli Parlimen Bersatu terhadap Belanjawan 2027 menerusi pemeteraian perjanjian dengan kumpulan itu yang turut dikaitkan dengan pelaksanaan dua reformasi institusi sebelum berakhir penggal pentadbiran semasa.


Perjanjian itu membabitkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lima lagi Ahli Parlimen parti berkenaan ketika kerajaan sedang berdepan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat.


Selain Muhyiddin (Pagoh), turut terlibat ialah Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Ali Biju (Saratok), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi), Datuk Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Azman Nasrudin (Padang Serai).


Sebelum ini terdapat ura-ura sebahagian Ahli Parlimen pro Perikatan Nasional mahu menggagalkan kelulusan Belanjawan 2027 sekali gus menyeret kerajaan untuk mengumumkan pilihan raya umum mengejut.


Turut menandatangani memorandum persefahaman antara kerajaan dan Ahli Parlimen hari ini ialah wakil rakyat Bebas yang sebelum ini menyokong kerajaan perpaduan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page