top of page

11 barangan diwartakan di bawah kawalan SHMMP Deepavali

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
11 hours ago
2 min read
Datuk Armizan di sidang media Pengumuman Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali
Datuk Armizan di sidang media Pengumuman Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali

Sebanyak 11 jenis barangan keperluan diwartakan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali yang berkuat kuasa dari 4 hingga 10 November depan.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah tersebut meningkat berbanding sembilan jenis barangan pada tahun lalu susulan penambahan dua barangan baharu iaitu santan dan ubi kentang dari China.


"Barangan yang terlibat di bawah skim itu ialah bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (jenis ros), cili merah dan daging kambing biri-biri bertulang import.


"Selain itu, barangan lain ialah kacang dal (Australia), kelapa biji dan kelapa parut (harga maksimum di peringkat borong sahaja), santan, tomato dan ubi kentang (China).


"Penambahan itu bertujuan memastikan liputan barangan kawalan lebih menyeluruh sempena sambutan perayaan berkenaan," katanya menerusi kenyataan hari ini.


Armizan menambah, berdasarkan analisis perbandingan harga bagi SHMMP Deepavali 2025 dan 2026, majoriti barangan kawalan yang disenaraikan menunjukkan trend harga yang stabil.


Bagi Semenanjung Malaysia ujarnya, sebanyak lima barangan mengalami penurunan harga maksimum yang ditetapkan berbanding tahun lalu, iaitu kelapa biji, kelapa parut, bawang merah besar, bawang merah kecil India dan kacang dal (Australia).


"Manakala tiga barangan kekal harganya, iaitu tomato, cili merah dan bawang merah kecil India (Ros). Bagi negeri Sabah, sebanyak dua barangan mengalami penurunan harga iaitu bawang merah besar dan kacang dal (Australia).


"Manakala enam barangan kekal harganya, iaitu tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil India dan bawang merah kecil India (Ros).


"Daging kambing biri-biri bertulang import merupakan satu-satunya barangan yang merekodkan peningkatan harga di peringkat borong dan runcit, melibatkan seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page