Malaysia matang: Bersedia hormati hak orang lain, diberi layanan adil


Mana-mana parti politik boleh dikritik dan pemimpin boleh dipersoalkan, namun kritikan mesti berasaskan tindakan dan fakta, bukannya prasangka terhadap kaum atau agama.
Demikian tegas Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail mengulas kekalahan Ketua Pemuda Umno dalam kes saman fitnah isu pensijilan halal melibatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok baru baru ini.
Fitri berkata, pemimpin bukan Islam khususnya daripada DAP, tidak seharusnya dianggap bersalah atau menjadi ancaman kepada Islam hanya disebabkan identiti politik mereka.
Katanya, keadilan tidak seharusnya hanya dituntut apabila ia menguntungkan kelompok sendiri, sebaliknya hak orang lain untuk mendapat layanan yang adil juga perlu dihormati.
"Jika kita menuntut supaya umat Islam dihormati dan tidak dihina, kita juga mesti bersedia menghormati hak orang lain untuk mendapat layanan yang adil.

"Inilah prinsip yang sepatutnya menjadi asas kepada Malaysia yang matang. Kita tidak perlu bersetuju dalam semua perkara untuk hidup bersama.
"Kita hanya perlu mempunyai kesediaan untuk menghormati perbezaan dan menyelesaikan pertikaian melalui saluran yang betul," katanya.
Dalam pada itu, Fitri menjelaskan bahawa menegakkan keadilan tidak bermakna mengorbankan prinsip agama, sebaliknya memastikan orang lain tidak dizalimi ketika prinsip tersebut dipertahankan.
Hakikatnya, beliau berkata, Islam boleh dipertahankan tanpa menghina agama lain, Melayu boleh diperjuangkan tanpa merendahkan kaum lain, dan perbezaan parti politik tidak seharusnya menghilangkan rasa hormat sesama manusia.
Beliau yang juga Ketua AMK Merbok menyimpulkan bahawa kematangan sedemikian perlu dibina dan akhlak berkenaan perlu diwariskan kepada anak cucu serta generasi akan datang.




Comments