top of page

Pembangkang Selangor Gagal

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 40 minutes ago
  • 3 min read

Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 telah berjalan dengan lancar melalui penyempurnaan titah ucapan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Baginda secara keseluruhannya berpuas hati dengan arahtuju pentadbiran Kerajaan Madani Selangor, namun terdapat beberapa teguran telah baginda ketengahkan untuk memperbaiki pentadbiran Kerajaan Selangor.


Segala teguran tersebut disambut baik oleh kepimpinan Kerajaan Madani Selangor. Baginda juga tidak ketinggalan menegur Ahli Dewan Negeri (ADN) Pembangkang yang disifatkan tidak beradab dan berfakta. Baginda berharap ADN Pembangkang untuk menjadi agen semak dan imbang yang berkesan terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor. Sebaliknya ADN Pembangkang berhujah tanpa fakta dan kajian mendalam, lebih parah apabila terdapat fakta yang diputarbelitkan demi memperolehi popuraliti murahan.


Teguran Sultan Selangor berasas


Teguran Sultan Selangor sudah pasti ada asasnya. Perkara ini boleh dirujuk kepada perbuatan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang digesa memohon maaf kepada Speaker DUN Selangor, Lau Weng San apabila mendakwa bersikap tidak profesional dan mengikut perlembagaan dalam mengendalikan perjalanan sidang DUN Selangor.

Dr. Mohd. Fauzi Hj. Fadzil
Dr. Mohd. Fauzi Hj. Fadzil

Segala tuduhan yang dilemparkan kepada Speaker DUN Selangor itu telah dijawab, malah turut dibuktikan ADUN Pembangkang mendapat masa berbahas yang lebih sepanjang perjalanan sidang DUN Selangor. Speaker DUN Selangor juga menjelaskan bahawa persidangan DUN Selangor yang terpaksa dipendekkan kerana Menteri Besar mengiringi Sultan Selangor untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu dan Majlis Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.


Namun sehingga kini Ketua Pembangkang Selangor terus mendiam diri dan tidak menyatakan permohonan maaf atas tuduhan beliau yang tidak berfakta kepada Speaker DUN Selangor.


Berhujah tanpa fakta


Sifat ADN Pembangkang yang berhujah tanpa fakta dan kajian mendalam turut membawa padah apabila ADN Pas bagi kawasan Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah terpaksa memohon maaf secara terbuka kepada Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Syahredzan Johan berhubung dakwaan palsu yang dibuatnya dengan menyatakan Syahredzan bukan seorang Muslim yang jujur dan taat beragama serta menyokong ideologi komunis.


ADN Pas itu telah diseret ke Mahkamah Tinggi kerana enggan menarik balik tuduhan tersebut, akibatnya Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah injunksi interim yang melarang beliau daripada mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah lanjut terhadap Syahredzan. ADN Pas itu juga menyatakan permohonan maaf melalui muat naik di laman Facebook. Beliau mengakui bahawa kenyataan-kenyataan tersebut adalah sepenuhnya palsu, tidak berasas dan langsung tidak mempunyai merit.


Jangan kita lupa terhadap permohonan ampun oleh kepimpinan Pas terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berikutan kenyataan yang dianggap menghina dan tidak menghormati baginda. Permohonan maaf itu terpaksa dilakukan setelah tular video ceramah pimpinan Pas yang menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan Menteri Besar Kedah dengan Menteri Besar Selangor. Pemimpin Pas itu kemudiannya diheret ke Mahkamah Tinggi dan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.


ADN Pembangkang gagal


Banyak lagi contoh-contoh kes yang boleh dibentangkan bagi menunjukkan kegagalan ADN Pembangkang gagal menjalankan tugas seperti mana yang dikehendaki oleh Sultan Selangor.


Seharusnya ADN Pembangkang mulai sedar bahawa mereka patut malu apabila tugas dan tanggungjawab mereka terpaksa diperingatkan oleh Sultan Selangor. Di mana maruah dan harga diri apabila tugas mereka gagal dilaksanakan sehingga mendapat teguran secara terbuka?


Rakyat Selangor hasrus sedar betapa kecewanya Sultan Selangor terhadap mutu perkhidmatan ADN Pembangkang sehingga perlu menyatakan teguran secara terbuka dalam sidang DUN Selangor. Sayangnya teguran itu tidak diinsafi oleh ADN Pembangkang dengan cuba mengalihkan perhatian rakyat Selangor terhadap isu lain. Kekecewaan Sultan Selangor terhadap ADN Pembangkang turut dizahirkan melalui tindakan baginda yang mencadangkan penambahbaikan terhadap perancangan Kerajaan Madani Selangor.


Seharusnya tugasan tersebut dilakukan oleh ADN Pembangkang. Tidak malukah mereka apabila Sultan Selangor sendiri terpaksa menjalankan tugas semak dan imbang akibat kegagalan ADN Pembangkang untuk berfungsi dengan baik?


Rakyat Selangor harus sedar dan mula menilai mutu ADN yang mereka pilih semasa pilihanraya. Semoga akan datang sidang DUN Selangor dapat menyaksikan perbahasan bermutu tanpa unsur fitnah dan tuduhan melulu daripada ADN Pembangkang.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page