Pemansuhan AUKU bukti agenda reformasi terus berjalan


Keputusan kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) membuktikan agenda reformasi yang diperjuangkan bukan sekadar slogan politik, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, pemansuhan akta itu memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk bersuara, berbeza pandangan serta terlibat dalam perbincangan mengenai masa depan negara.
"Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri. Keputusan ini membawa makna besar kepada mahasiswa serta mereka yang mengikuti perjalanan reformasi pendidikan tinggi negara.
"Apabila kerajaan memansuhkan AUKU, ia menunjukkan reformasi sedang diterjemahkan melalui tindakan dan bukan hanya disebut dalam ucapan," katanya dipetik MalaysiaGazette.
Pemansuhan AUKU diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC) pada Sabtu.
Sementara itu Saifuddin yang juga Pengarah bagi kongres tersebut turut menyifatkan pengumuman itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kematangan mahasiswa menggunakan kebebasan secara bertanggungjawab .
Ia turut mengambarkan tekad Kerajaan MADANI bawah kepimpinan Perdana Menteri untuk memacu pembaharuan demi rakyat.
"Kita mahu anak muda yang berani berhujah, mempunyai pendirian dan pada masa sama menghormati perbezaan.
"Saya percaya langkah seterusnya selepas pemansuhan AUKU akan membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa serta memperkukuh kebebasan akademik di institusi pengajian tinggi," ujarnya.
Pada masa sama, Saifuddin mencabar KEADILAN dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) supaya memugar imej dan pendekatan bagi mendekati generasi mahasiswa hari ini.
Menurutnya, parti tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada naratif atau sejarah perjuangan reformasi lampau untuk memenangi sokongan golongan muda.
"Kita perlu mendekati mereka, mendengar pandangan mereka dan memahami aspirasi generasi mahasiswa hari ini," tambahnya.




Comments