Pemandu mabuk: “Ini kejahatan tidak boleh dikompromi” – Pemuda AMANAH Perak
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak melalui sayap pemudanya mengecam keras insiden kemalangan maut di Klang yang melibatkan penunggang motosikal menjadi mangsa kepada pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Ketuanya, Khairol Najib Hashim (gambar), berkata kejadian tersebut bukan sahaja menyedihkan, malah mencerminkan kegagalan mengekang sikap tidak bertanggungjawab yang terus mengorbankan nyawa rakyat.
"Ini bukan sekadar kecuaian. Ini adalah satu bentuk kejahatan yang tidak boleh dikompromi," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan tersebut, di samping menggesa kerajaan meneliti bentuk bantuan sewajarnya bagi meringankan beban keluarga.
Menurutnya, kes kemalangan akibat pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah bukan lagi terpencil, sebaliknya semakin kerap berlaku dan membimbangkan.
"Apa yang lebih mengecewakan, setiap kali tragedi berlaku, kita hanya mendengar janji untuk mengkaji, meneliti dan mempertimbangkan pindaan undang-undang, namun sehingga hari ini kesannya masih belum cukup untuk benar-benar mengekang jenayah ini.
"Sampai bila kita mahu terus ‘kaji’? Berapa banyak lagi nyawa perlu terkorban sebelum tindakan lebih tegas diambil?" soalnya.
Beliau menegaskan bahawa undang-undang sedia ada masih belum mencukupi untuk memberi kesan pencegahan yang sebenar terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Perak mendesak kerajaan agar segera memperketatkan undang-undang, mempercepatkan pindaan berkaitan serta memperkukuh penguatkuasaan tanpa berlengah.
"Kami juga menggesa agar isu ini dibawa secara serius dalam sidang Parlimen akan datang melalui usul di bawah Aturan Mesyuarat bagi membincangkan keperluan mendesak untuk memperketatkan undang-undang serta hukuman," katanya.
Menurut beliau, keselamatan awam mesti menjadi keutamaan dan tindakan tegas perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan lebih banyak tragedi.
"Ini bukan lagi isu kecil. Ini soal nyawa rakyat. Keutamaan mesti diberikan kepada keselamatan awam, dan tindakan tegas perlu dilaksanakan sekarang, bukan selepas lebih banyak tragedi berlaku," katanya.




Comments