Peletakan jawatan Chean Chung: Khidmat kepada rakyat Petaling Jaya diteruskan


Perkhidmatan kepada penduduk Petaling Jaya akan diteruskan seperti biasa meskipun Ahli Parlimen kawasan itu, Lee Chean Chung, membuat keputusan meletakkan jawatan, kata Exco Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Christopher Ong.
Beliau berkata, perkembangan politik berkenaan tidak sepatutnya menjejaskan kepentingan rakyat, manakala urusan dan isu penduduk perlu terus diberi perhatian.
"Perkembangan politik tidak sepatutnya menjejaskan kepentingan rakyat dan khidmat kepada rakyat akan terus dilaksanakan dengan sebaiknya," kata beliau dalam muat naik di media sosial.
Christopher berkata, Ahli-Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing serta wakil masyarakat akan terus menjalankan tanggungjawab dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.
Menurutnya, meskipun peranan setiap pihak berbeza, matlamat utama mereka tetap sama, iaitu memastikan isu rakyat didengar dan usaha penyelesaian dilaksanakan.
Beliau yang juga Ahli Majlis MBPJ Zon 10, bertanggungjawab terhadap kawasan Seksyen 16 dan 17, berkata kerja-kerja khidmat masyarakat serta pengurusan aduan penduduk akan diteruskan seperti biasa.
Katanya, penduduk masih boleh menyalurkan aduan berkaitan kebersihan, jalan raya, lampu, longkang, pembangunan, keselamatan komuniti dan isu tempatan lain untuk diselaraskan bersama PBT serta agensi berkaitan.
"Aduan penduduk mengenai isu kebersihan, jalan, lampu, longkang, pembangunan, keselamatan komuniti dan isu-isu tempatan boleh terus disampaikan kepada pihak kami untuk diselaraskan bersama PBT serta agensi berkaitan sehingga ada jalan penyelesaian," katanya.
Beliau turut mengakui perbezaan dalam politik tidak dapat dielakkan, namun menegaskan kepentingan penduduk tidak boleh diketepikan akibat perkembangan berkenaan.
"Sudah tentu kita tidak dapat elak perbezaan dalam politik. Tetapi bagi saya, kepentingan rakyat dan khidmat untuk penduduk tidak boleh terkesan hanya disebabkan perkara tersebut," katanya yang juga Naib Ketua AMK Selangor.
Christopher juga yakin KEADILAN akan mengambil langkah dan membuat penyelarasan sewajarnya bagi memastikan perkhidmatan kepada penduduk Petaling Jaya terus berjalan sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, pihaknya akan terus turun padang, mendengar aduan serta bekerjasama dengan PBT dan agensi berkaitan bagi membantu menyelesaikan isu yang dibangkitkan penduduk.
"Apa sahaja proses seterusnya, keutamaan kita mestilah memastikan penduduk terus mempunyai saluran untuk mendapatkan bantuan dan membawa isu mereka.
"Petaling Jaya adalah rumah kita bersama. Apa pun yang berlaku dalam politik, khidmat untuk rakyat tetap diteruskan," katanya lagi.




Comments