top of page

Pelarian Myanmar: Malaysia tidak hantar pulang jika nyawa terancam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

Malaysia tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian Myanmar sekiranya keselamatan dan nyawa mereka berisiko, demikian kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil.


Beliau berkata perkara itu sedang diteliti Wisma Putra bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan cadangan penghantaran pulang kira-kira 5,000 pelarian Myanmar yang dikatakan bersedia diterima semula oleh kerajaan negara itu.


"Perkara ini sedang diteliti oleh Wisma Putra dan juga Kementerian Dalam Negeri.


"Malaysia sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab tidak akan menghantar pulang sekiranya 5,000 orang pelarian Myanmar ini akan dizalimi ataupun nyawa mereka terancam," katanya pada sidang media pasca-Kabinet di Putrajaya hari ini.


Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi terlebih dahulu dalam rundingan dengan kerajaan Myanmar sebelum sebarang keputusan dibuat.


"Ada beberapa perkara yang kita akan teliti dahulu dalam perbincangan dengan kerajaan Myanmar sebelum kita laksanakan apa yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri.


"... kita akan teliti apakah kriterianya dan sekiranya sesuai, kita akan laksanakan. Tetapi Perdana Menteri mengambil maklum bahawa kita tidak boleh menghantar pulang sekiranya nyawa mereka terancam," katanya.


Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan Myanmar menyatakan kesediaan menerima semula sehingga 5,000 pelarian dari negara itu yang berada di Malaysia.


Bagaimanapun, kerajaan menegaskan sebarang proses penghantaran pulang akan dilaksanakan secara berhati-hati dengan mengambil kira jaminan keselamatan, pertimbangan kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.


Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyegerakan pemprosesan 15,000 permohonan pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor-sektor kritikal serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara.


Jelas beliau, langkah itu penting bagi memastikan sektor yang bergantung kepada tenaga kerja asing tidak terus berdepan kekurangan pekerja sehingga menjejaskan aktiviti ekonomi.


"Jemaah Menteri juga telah mengambil maklum mengenai isu permohonan bagi pekerja-pekerja asing yang mana Perdana Menteri telah memohon supaya pihak KESUMA segera menguruskan 15,000 permohonan pekerja asing.


"Ini bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor-sektor yang terlibat dan secara langsung menyokong aktiviti ekonomi dalam negara kita," katanya.


Kerajaan sebelum ini memberi jaminan pengurusan pengambilan pekerja asing akan terus diperkemas bagi memenuhi keperluan industri, pada masa sama memastikan proses kelulusan lebih telus serta mematuhi dasar dan keperluan pasaran buruh negara.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page