Pelantikan KMKK di Sarawak: Elak manipulasi politik, ketepi komuniti setempat
- Suara Keadilan

- 13 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Isu pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Sarawak mencetuskan kontroversi apabila didakwa dimanipulasi untuk kepentingan politik, sekaligus mencabar prinsip penghormatan terhadap adat dan keputusan komuniti setempat.
Naib Pengerusi KEADILAN Sarawak, Khusyairy Pangkas (gambar) berkata, isu pelantikan di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), menjadi punca rakan komponen dalam gabungan parti di negeri berkenaan tidak menghormati sesama sendiri.
"Jelas pelantikan KMKK telah dimanipulasi oleh ahli politik. Sesungguhnya, isu manipulasi pelantikan KMKK pernah mendapat bantahan penduduk-penduduk setempat di kawasan lain yang pernah terlibat kontroversi manipulasi pelantikan KMKK sebelum ini.
"(Ia) juga pernah dibahaskan oleh warga media sosial khususnya yang melibatkan kaum Dayak. Institusi perlantikan KMKK amat berpegang kepada adat sesuatu kaum yang berpaksikan nilai kepimpinan, keadilan, pengetahuan tentang adat dan budaya, serta integriti.
"Dayak menjunjung hormat adat dalam pemilihan dan pelantikan ketua kaumnya walaupun sedikit sebanyak (terdapat) amalan demokrasi," katanya dalam satu kenyataan.
Ujar Khusyairy, yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kapit, penubuhan Panel Pemilihan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (PPKMKK) oleh kerajaan Sarawak telah menginstitusikan proses rasmi pelantikan KMKK yang sepatutnya berpaksikan kepada keputusan pemilihan di peringkat komuniti setempat.
Namun, katanya persoalan yang timbul dalam kalangan masyarakat ialah mengapa ahli-ahli politik sama ada terlibat sebagai anggota mahupun hadir dalam mesyuarat PPKMKK yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian.
"Memadailah PPKMKK dianggotai oleh pentadbdir-pentadbir seperti Residen, Pegawai Daerah, Temenggong, Pemanca, Penghulu yang mewakili penduduk-penduduk kawasan berkenaan.
"Selagi ahli politik mencampuri keputusan yang telah dipersetujui peringkat PPKMKK setelah mendapat keputusan pemilihan di peringkat kampung atau rumah panjang, selagi itulah adat dinodai dan tidak dihormati kerana politik mengatasi urusan adat," kata beliau yang juga Ketua Biro Profesional KEADILAN negeri.
Untuk rekod, baru baru ini berlaku kes di kawasan DUN Dudong dan DUN Bawang Assan yang mana Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan terbabit tidak dijemput hadir ke Majlis Perasmian Penyampaian Watikah Perlantikan KMKK
Selain itu, dilaporkan terdapat beberapa orang KMKK yang telah dipersetujui di peringkat Panel Pemilihan KMKK (PPKMKK) telah digugurkan nama mereka dan diganti dengan orang yang bukan dipersetujui PPKMKK atau penduduk setempat.









Comments