RM4.42 juta ganjaran kemenangan sukan atlet Sukan SEA, Sukan Para ASEAN
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian atlet negara dengan menyalurkan RM4.42 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada atlet yang bertanding pada Sukan SEA 2025 dan Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, insentif berkenaan bukan sahaja sebagai pengiktirafan kepada kejayaan atlet, malah bertujuan menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi pada masa hadapan.
"Kerajaan menghargai atlet-atlet kita dan ini bukanlah noktah atau pun titik henti untuk atlet kita.
"Ini adalah permulaan untuk kita berjuang dengan lebih hebat lagi pada temasya-temasya akan datang khususnya yang akan berlangsung pada tahun ini.
"Semoga SHAKAM akan menjadi pemangkin dan menyuntik semangat mereka untuk terus maju dan menyumbang lebih banyak pingat kepada negara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan insentif pada Majlis Penyampaian SHAKAM Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2025 di ibu negara malam tadi.
Di samping itu, Dr Taufiq turut menegaskan keperluan persiapan awal bagi menghadapi Sukan SEA 2027 yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah.
Beliau berharap negara mampu mencatat kejayaan yang lebih gemilang dan merangkul lebih banyak pingat pada Sukan SEA 2027, sekali gus memanfaatkan sepenuhnya kelebihan sebagai tuan rumah.









Comments