top of page

Kerajaan Sabah perlu jaga kebajikan anak Murut bekerja di Australia - Raymond

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Raymond (tujuh dari kanan) bersama anak perantauan kominiti Murud
Raymond (tujuh dari kanan) bersama anak perantauan kominiti Murud

Oleh: Akmal Manaf


Kerajaan Negeri Sabah diseru supaya memberi perhatian serius terhadap kebajikan anak-anak Murut berada di perantauan, khususnya di Australia yang bekerja dalam sektor pertanian, penternakan dan perkilangan.


Presiden Pertubuhan Kebudayaan dan Kebajikan Murut Malaysia (PKKMM), Raymond Ahuar berkata, kebanyakan anak-anak Murut di Australia bekerja dalam keadaan fizikal yang mencabar, jauh daripada keluarga, berdepan isu kos sara hidup yang tinggi, status pekerjaan sementara serta kekangan akses kepada perlindungan sosial.


Oleh itu ujarnya, Kerajaan Negeri Sabah wajar mewujudkan mekanisme sokongan kebajikan, termasuk bantuan nasihat, jaringan komuniti rasmi dan kerjasama dengan pihak berkaitan agar kebajikan mereka lebih terjamin.


"Golongan ini merupakan tenaga kerja rajin dan berdisiplin yang menyumbang kepada ekonomi negara luar dan secara tidak langsung ekonomi negara Malaysia, namun masih terikat secara emosi dan tanggungjawab kepada tanah asal mereka di Sabah.


"Selain aspek kebajikan, Kerajaan Negeri juga perlu melihat potensi besar golongan perantau ini sebagai aset pembangunan negeri.


"Ramai dalam kalangan mereka telah memperoleh kemahiran praktikal, pengetahuan teknologi moden dan pengalaman kerja dalam sistem pertanian serta penternakan berskala besar yang boleh dimanfaatkan apabila mereka pulang ke Sabah," katanya dalam satu kenyataan.

Pekerja memetik buah di Australia
Pekerja memetik buah di Australia

Dalam pada itu, Raymond mencadangkan Kerajaan Negeri Sabah agar merangka program khusus bagi menyediakan sokongan modal permulaan, geran, latihan lanjutan serta bimbingan teknikal kepada anak-anak Murut yang ingin kembali dan menceburi sektor pertanian, penternakan atau perusahaan asas tani di negeri mereka.


Langkah itu ujarnya bukan sahaja membantu mereka berdikari, malah menyumbang kepada jaminan makanan dan ekonomi luar bandar negeri.


"Pembangunan ekonomi yang inklusif dan adil agar tiada kelompok masyarakat, khususnya masyarakat pribumi seperti Murut, terus tercicir daripada arus pembangunan.


"Anak-anak Murut di perantauan bukan beban, sebaliknya aset yang perlu dihargai, dibimbing dan diberikan ruang untuk menyumbang kembali kepada negeri sendiri," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page