Pelan Damai Trump: 'Sesuatu yang tidak mampu diterima penduduk Gaza'
- Suara Keadilan

- Oct 2
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Selepas pelbagai spekulasi sejak pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai Pelan Damai Gaza, ternyata hal itu hanya mengulangi skim lama yang digubal bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tanpa melibatkan pihak utama iaitu rakyat Palestin yang terus menanggung penderitaan.
Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (gambar) berkata, lazimnya penindas membuat tawaran yang sukar ditolak namun kali ini Trump melangkah lebih jauh dengan menawarkan sesuatu yang langsung tidak mampu diterima oleh rakyat Palestin.
"Akibatnya, permainan salah-menyalahkan sekali lagi akan diletakkan sepenuhnya ke atas bahu Palestin, bukannya Israel.
"Fokus utama (pelan damai) kelihatan kepada pembangunan hartanah mewah berbentuk pusat peranginan yang tidak mampu dimiliki penduduk Palestin tempatan, sedangkan perobohan berterusan Gaza masih berlaku tanpa belas kasihan.
"Malah, terdapat ugutan bahawa sekiranya rakyat Palestin menolak cadangan damai tersebut, Israel akan 'menyelesaikan tugas mereka!'
"Perkara ini sudah dijangka kerana Trump dan AS tidak pernah menunjukkan kemampuan bertindak sebagai orang tengah yang jujur dan adil, sebaliknya lebih bertindak seperti broker hartanah," kata beliau menerusi satu kenyataan.
Dakwa Raja Kamarul lagi, untuk menambahkan luka, Trump dispekulasikan bakal menyelia pentadbiran kerajaan tempatan baharu bersama bekas Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair.
"Dalam erti kata mudah, kembalinya seorang bekas PM Britain, negara yang pernah merangka Deklarasi Balfour untuk menubuhkan Israel, ini bermakna rakyat Palestin sekali lagi ditakluk melalui pentadbiran kolonial di bawah Blair.
"Bezanya, kali ini penjajah tidak lagi mengekstrak hasil bumi daripada tanah jajahan, sebaliknya mereka mahu meraih keuntungan kewangan daripada pembangunan semula tanah yang mereka dan AS bantu musnahkan dengan membekalkan bom serta peluru kepada Israel untuk meratakan Gaza sebagai persediaan kepada pembangunan mewah di atas kubur ribuan rakyat Palestin yang dibunuh melalui pembunuhan beramai-ramai," ujarnya lagi.
Memandangkan Trump bakal tiba di Kuala Lumpur pada 26 Oktober untuk Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, Raja Kamarul menyeru agar rakyat menyuarakan bantahan terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza serta eksploitasi kolonial serta keuntungan yang bakal diraih di atas penderitaan serta kematian penduduk Palestin.









Comments