top of page

Pelaburan KWAP diurus secara profesional, kenapa kaitkan dengan PM?

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 8 hours ago
  • 2 min read

Cubaan untuk mengaitkan secara langsung sesuatu keputusan pelaburan dengan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, merupakan tafsiran yang terlalu mudah terhadap proses membuat keputusan pelaburan, sekali gus tidak mencerminkan bagaimana institusi pelaburan sebenarnya beroperasi.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail (gambar) berkata, jika benar Menteri Kewangan membuat setiap keputusan pelaburan, maka keseluruhan konsep tadbir urus korporat dan kebebasan institusi seperti Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) tidak lagi mempunyai makna.


Beliau berkata, dalam mana-mana institusi pelaburan, risiko pelaburan sentiasa wujud dan setiap keputusan dibuat berdasarkan penilaian terhadap maklumat yang tersedia pada ketika itu.


"Hakikat bahawa sesuatu pelaburan kemudiannya mengalami kerugian tidak secara automatik membuktikan wujud salah laku, apatah lagi campur tangan politik.


"Jika terdapat dakwaan bahawa berlaku penipuan, kecuaian atau pelanggaran prosedur, maka dakwaan tersebut perlu disiasat secara profesional oleh pihak berkuasa yang berkaitan.


"Kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana siasatan. Namun adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman melalui persepsi politik sebelum fakta dan bukti dikemukakan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang bahawa PM Anwar ditipu dalam pelaburan KWAP di Indonesia, sedangkan keputusan pelaburan dana awam dibuat oleh panel pelaburan dan Lembaga Pengarah KWAP, bukannya Menteri Kewangan.


Mengulas lanjut, Mohammad Fitri berkata, isu berkenaan perlu dinilai dalam konteks tadbir urus institusi kerana KWAP merupakan sebuah badan berkanun yang mempunyai kerangka tadbir urus, mandat pelaburan dan struktur membuat keputusan yang jelas.


Ujar beliau yang juga Ketua AMK Merbok, setiap pelaburan tidak diputuskan oleh Menteri Kewangan, sebaliknya melalui proses penilaian profesional.


"Penilaian itu melibatkan pengurusan pelaburan, jawatankuasa pelaburan dan seterusnya mendapat pertimbangan serta kelulusan Lembaga Pengarah berdasarkan dasar pelaburan yang telah ditetapkan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page