top of page

Pelaburan India ke Malaysia diperluas, Guru lakukan terbaik di New Delhi

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
44 minutes ago
2 min read
DS Anwar @ Guru memimpin rundingan pelaburan bersama para kapten industri India
DS Anwar @ Guru memimpin rundingan pelaburan bersama para kapten industri India

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atau nama gelarannya 'Guru' semalam mengadakan beberapa pertemuan bersama pemain industri dan pelabur utama India bagi meneroka peluang memperluas pelaburan serta kerjasama industri antara Malaysia dan India.


Pertemuan itu melibatkan wakil DRB-HICOM, SEGULA Technologies India, AWL Agri Business Limited dan Motherson Group, dengan tumpuan kepada sektor strategik termasuk automotif, teknologi, kejuruteraan, perniagaan tani dan penyelesaian digital.


Dalam pertemuan bersama SEGULA Technologies India, syarikat kejuruteraan dan teknologi global itu menyatakan hasrat untuk menubuhkan Pusat Kejuruteraan Global di Malaysia menjelang akhir 2026.


"Saya bertemu kepimpinan SEGULA Technologies India, sebuah syarikat kejuruteraan dan teknologi global, yang menyatakan hasrat untuk menubuhkan Pusat Kejuruteraan Global di Malaysia menjelang akhir 2026. Inisiatif ini berupaya memperkukuh keupayaan kejuruteraan tempatan melalui pengambilan bakat Malaysia serta penerapan kepakaran kecerdasan buatan dalam sektor automotif, aeroangkasa, tenaga dan pembuatan termaju," katanya dalam muat naik di media sosial.


Sementara itu, pertemuan bersama AWL Agri Business Limited membincangkan usaha meningkatkan pembelian produk daripada pembekal Malaysia.


Syarikat berkenaan telah mengimport produk minyak sawit Malaysia bernilai kira-kira RM1.5 bilion, sekali gus membuka peluang untuk memperluas kerjasama dalam sektor minyak sawit, lemak khusus, oleokimia dan produk hiliran.


Pertemuan bersama DRB-HICOM pula meneroka ruang kerjasama dengan industri automotif di India bersama rakan strategik syarikat berkenaan.


Anwar turut bertemu wakil Motherson Group yang berkongsi perancangan untuk mengembangkan perniagaan teknologi maklumat dan penyelesaian digital di Malaysia.


"Saya turut bertemu wakil Motherson Group yang berkongsi perancangan untuk mengembangkan perniagaan teknologi maklumat dan penyelesaian digital di Malaysia. Langkah ini akan memanfaatkan kekuatan bakat tempatan, infrastruktur digital serta kedudukan strategik Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran serantau," katanya.


Menurut Anwar, siri pertemuan tersebut mencerminkan keyakinan pemain industri dan pelabur terhadap potensi serta hala tuju ekonomi Malaysia.


Kerajaan MADANI akan terus memudah cara pelaburan berkualiti yang memperkukuh industri tempatan, mencipta pekerjaan bernilai tinggi dan memastikan limpahan manfaat ekonomi dapat dirasai rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page