top of page

Pelaburan berbilion ringgit bukti keyakinan pelabur terhadap Kerajaan MADANI

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
40 minutes ago
2 min read
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man

Pelaburan bernilai berbilion ringgit yang diumumkan syarikat antarabangsa sejak kebelakangan ini membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia semakin meningkat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.


Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, antara perkembangan terbaharu ialah cadangan pelaburan AS$1.85 bilion oleh SoftBank Group dan Grab bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di negara ini.


Beliau berkata, kedua-dua syarikat itu baru-baru ini menandatangani perjanjian pembangunan bersama Petroliam Sarawak Berhad (PETROS) dengan cadangan modal permulaan gabungan sebanyak AS$1.85 bilion.


Menurutnya, pelan pembangunan jangka panjang itu bertujuan meningkatkan kapasiti pengkomputeran AI di seluruh Sarawak dan Semenanjung Malaysia, dengan sasaran mencapai kapasiti lima gigawatt atau lebih.


"Saya amat gembira dengan pengumuman ini. Ia menyusuli beberapa pengumuman pelaburan besar di Malaysia sejak kebelakangan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Choon Man yang juga Ahli Parlimen Miri berkata, minggu lalu Google turut mengumumkan pelaburan AS$15 bilion di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang bagi menyokong pembangunan kompleks pusat data cekap tenaga di Selangor dan Negeri Sembilan.


Pelaburan itu berpotensi mewujudkan 37,000 peluang pekerjaan setiap tahun, termasuk 6,000 pekerjaan dalam sektor pembinaan.


Pada minggu sama, delegasi perniagaan pelabur China diketuai Pansy Ho turut menyatakan minat terhadap potensi pelaburan sebanyak AS$15 bilion di Malaysia.


Beliau berkata, pertemuannya dengan delegasi berkenaan memberi gambaran bahawa cadangan pelaburan itu akan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi dan berteknologi tinggi, bukannya industri intensif buruh yang bergantung kepada tenaga kerja tidak mahir.


Enam sektor dikenal pasti menjadi tumpuan delegasi berkenaan ialah elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor; bahan industri khusus dan kejuruteraan jitu; ekonomi digital dan infrastruktur teknologi; pemprosesan makanan dan produk halal; teknologi kesihatan dan farmaseutikal; serta pelancongan.


Menurut Choon Man, perkembangan itu mencerminkan keyakinan pelabur asing yang semakin meningkat terhadap Malaysia.


Beliau berkata, sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022, pelbagai usaha dilaksanakan bagi menarik lebih banyak pelaburan asing dan perniagaan ke negara ini.


"Usaha berterusan ini telah membuahkan hasil yang jelas apabila pelaburan asing bernilai berbilion ringgit terus mengalir masuk ke negara ini," katanya lagi.


KDNK negara meningkat


Mengulas prestasi ekonomi, beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat kepada 5.1 peratus pada 2024 berbanding 3.5 peratus pada 2023, sebelum berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2025 berdasarkan angka Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Momentum itu berterusan pada 2026 apabila KDNK negara berkembang sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama tahun ini, manakala suku kedua mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus.


Dalam pada itu, beliau berkata ringgit turut muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia tahun ini meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik.


Ringgit mencapai paras sekitar RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat pada suku pertama 2026, sebelum menyusut kepada sekitar RM4.15 pada Jun.


Bagaimanapun, CIMB Treasury and Markets Research baru-baru ini menjangkakan ringgit berpotensi mengukuh kepada RM4.00 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun.


"Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan MADANI serta peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.


"Negara kita mempunyai potensi untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh. Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sepanjang empat tahun lalu telah membantu memperkukuh ekonomi Malaysia," katanya lagi.


Beliau turut berharap Malaysia dapat mengekalkan prospek ekonomi positif dan terus menarik lebih banyak pelaburan asing, sambil menegaskan komitmennya untuk bekerja keras bersama Kerajaan MADANI bagi mencapai matlamat itu.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page