Rasuah berprofil tinggi jejaskan reputasi, integriti negara – Yuneswaran


Kes rasuah berprofil tinggi membabitkan individu yang pernah memegang jawatan tertinggi negara bukan sahaja memberi kesan kepada sistem keadilan, malah berpotensi menjejaskan reputasi, kredibiliti dan integriti Malaysia di peringkat antarabangsa.
Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran berkata, kes rasuah sedemikian boleh menghakis keyakinan pelabur asing, institusi antarabangsa dan rakan diplomatik terhadap sistem pentadbiran serta tadbir urus negara.
Menurutnya, rasuah bukan sekadar berkaitan wang yang dicuri, sebaliknya membawa kesan lebih besar terhadap kepercayaan rakyat, kekuatan institusi dan masa depan negara.
"Kes rasuah berprofil tinggi boleh menghakis keyakinan pelabur asing, institusi antarabangsa dan rakan diplomatik terhadap sistem pentadbiran negara," katanya dalam kenyataan di media sosial.

Beliau berkata, penyalahgunaan kuasa oleh individu yang diberikan amanah awam turut menyebabkan rakyat mempersoalkan integriti institusi kerajaan, agensi penguatkuasaan dan sistem keadilan.
Malah, katanya, tindakan mempertahankan atau meraikan individu yang terpalit dengan kes rasuah hanya kerana pernah memegang kuasa boleh menormalisasikan budaya politik yang berbahaya.
"Jika rasuah dipertahankan atau diraikan hanya kerana individu yang dituduh pernah memegang kuasa, masyarakat berisiko menerima mesej yang amat berbahaya, iaitu pengaruh politik lebih penting daripada prinsip akauntabiliti dan pertanggungjawaban," katanya.
Yuneswaran yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara menegaskan bahawa tiada individu boleh mengatasi undang-undang tanpa mengira kekayaan, pengaruh politik, kedudukan atau hubungan.
Menurutnya, pelaksanaan akauntabiliti secara terpilih dan usaha melemahkan proses kehakiman boleh meruntuhkan asas demokrasi serta kedaulatan undang-undang.
Kerosakan sumber kewangan
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa rakyat biasa akhirnya menanggung kesan rasuah apabila sumber kewangan yang sepatutnya disalurkan kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, pembangunan infrastruktur dan ekonomi diselewengkan daripada kepentingan awam.
Katanya, kesan tersebut turut menjadi beban kepada kepimpinan negara pada masa hadapan yang terpaksa mengambil masa bertahun-tahun untuk memulihkan kredibiliti institusi dan keyakinan antarabangsa.
"Negara mesti sentiasa lebih besar daripada mana-mana individu. Kesetiaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mempertahankan rasuah.
"Menghormati proses perundangan tidak bermaksud mengetepikan akauntabiliti, manakala menegakkan undang-undang tidak seharusnya ditafsirkan sebagai penganiayaan politik tanpa bukti," katanya.
Mengulas lanjut, Yuneswaran berkata Malaysia memerlukan kepimpinan yang mengutamakan kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi serta meletakkan akauntabiliti mengatasi perlindungan politik.
Tegasnya, reputasi negara merupakan milik seluruh rakyat Malaysia dan tidak seharusnya dikorbankan demi mempertahankan mana-mana individu.
Selain itu, beliau juga membangkitkan persoalan mengenai prinsip kesaksamaan dalam pelaksanaan hukuman, khususnya berhubung isu tahanan rumah.
"Adakah semua penjenayah yang telah disabitkan kesalahan juga layak menjalani tahanan rumah?" soalnya.




Comments