ITU PP26: Tiada negara mampu tangani cabaran sektor telekomunikasi bersendirian


Pelbagai negara perlu memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi menangani cabaran sektor telekomunikasi global yang semakin kompleks, memandangkan tiada sebuah negara pun mampu menghadapinya secara bersendirian.
Menurut Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, perkembangan teknologi yang begitu pantas serta kemunculan cabaran baharu yang sukar dijangka memerlukan berbilang negara saling bekerjasama dan berkongsi pengalaman bagi mencari penyelesaian yang berkesan.
Beliau berharap hubungan dan jaringan kerjasama yang terjalin sepanjang Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) dapat diteruskan menerusi lebih banyak kerjasama, termasuk di luar persidangan dan di negara masing-masing.
"Saya percaya, untuk menyelesaikan cabaran yang kita hadapi, tiada negara mampu melakukannya secara bersendirian," katanya.
Datuk Seri Fahmi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis resepsi makan tengah hari anjuran Malaysia di Pusat Pameran dan Konvensyen Doha (DECC), hari ini.
Majlis itu merupakan sebahagian daripada usaha diplomatik Malaysia untuk mendapatkan sokongan negara anggota bagi pemilihan semula ke Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.
Pengundian dijadual berlangsung pada 16 Nov ini.
Datuk Seri Fahmi yang mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan berkenaan turut menegaskan komitmen negara untuk terus memperluas kerjasama antarabangsa, di samping mengekalkan pendirian berkecuali dalam mendepani landskap digital global yang semakin kompleks.
"Malaysia bersedia untuk membantu dan menyediakan ruang kerjasama. Kita sebuah negara berkecuali, percaya kepada kesalingkendalian dan yakin bahawa lebih banyak manfaat dapat dicapai melalui kerjasama," katanya.




Comments