Pelabur Iran disaran pindah ke Malaysia, fokus sektor halal
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 1 min read

Warga Iran khususnya pelabur yang berdepan tekanan dan pengusiran di rantau Timur Tengah disaran mempertimbangkan Malaysia sebagai destinasi baharu bagi memindahkan pelaburan mereka.
Ahli Lembaga Penasihat Wisdom Syariah, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar), berkata cadangan itu dibuat atas dasar persaudaraan dan kemanusiaan dalam membantu golongan yang terkesan.
"Atas dasar persaudaraan dan kemanusiaan, saya mencadangkan warga Iran yang diusir dari Timur Tengah, terutama para pelabur, untuk memindahkan pelaburan mereka ke Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai potensi besar sebagai hab pelaburan yang stabil, khususnya dalam sektor halal dan teknologi yang semakin berkembang.
"Kami sedia membantu, terutamanya dalam aspek berkaitan perniagaan halal dan teknologi," ujarnya yang juga mantan Ahli Dewan Negeri Meru.
Beliau menambah, langkah tersebut bukan sahaja dapat membantu pelabur yang terjejas, malah berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan melalui kemasukan pelaburan baharu.
Dalam masa sama, beliau melihat pendekatan berasaskan kemanusiaan itu selari dengan peranan Malaysia sebagai negara yang menggalakkan kerjasama ekonomi dan solidariti antarabangsa.




Comments