Pelabuhan ketiga Pulau Carey lonjak peluang ekonomi, pintu masuk ke Asia Tenggara
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Pembangunan Pelabuhan Ketiga di Pulau Carey, Klang dilihat menjadi langkah strategik bagi melonjakkan potensi Pelabuhan Klang sebagai pintu utama kemasukan peluang ekonomi bukan sahaja ke Malaysia malah ke rantau Asia Tenggara.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata pembangunan tersebut amat penting khususnya ketika dunia sedang berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global.
"Kesemua ini amat penting supaya Pelabuhan Ketiga Pulau Carey melonjakkan potensi Pelabuhan Klang sekaligus menjadi pintu utama kemasukan peluang ekonomi bukan sahaja ke Malaysia, tetapi Asia Tenggara, terutamanya dalam keadaan dunia sedang berhadapan dengan krisis global," katanya dalam kenyataan hari ini.
Laporan media tempatan semalam menyebut kerajaan meluluskan projek pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey di Selangor, demikian kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Kabinet meluluskan memorandum Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi pembangunan projek berkenaan dan ia akan dilaksana oleh kerajaan negeri Selangor.
Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri menyambut baik keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan pembangunan pelabuhan berkenaan selepas usaha perancangan dilakukan sejak 2023.
Beliau berkata, usaha itu mencapai kemuncaknya melalui pertemuan beliau bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 15 Disember 2025.
Kelulusan tersebut, katanya diyakini mampu melonjakkan lagi kedudukan Pelabuhan Klang yang kini berada dalam kelompok 10 pelabuhan utama dunia dengan pengendalian sebanyak 14.64 juta unit TEU pada tahun 2024.
"Melangkah ke hadapan, kerajaan negeri berikhtiar untuk melengkapkan Pelan Induk Pembangunan Pelabuhan Pulau Carey," katanya.
Menurutnya lagi, pelan induk itu akan diterajui oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan meliputi pembangunan infrastruktur awam seperti utiliti, tenaga boleh baharu, pengangkutan awam serta keterhubungan digital.
Beliau berkata pelan tersebut turut merangkumi pembangunan kawasan perindustrian dan perumahan selain memastikan pemeliharaan komuniti tempatan termasuk tanah rizab Melayu serta kawasan masyarakat Orang Asli di Pulau Carey.
"Pelan Induk ini kemudian akan menilai keberkesanan untuk mewujudkan Pihak Berkuasa Tempatan Khas bagi menyelia keseluruhan pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey selaras dengan pengumuman Perdana Menteri bahawa pembangunan ini harus dipercepatkan bagi masa depan ekonomi negara," katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan serta agensi Persekutuan berkaitan bagi mengoptimumkan pembangunan pelabuhan tersebut.
"Kerajaan Negeri turut komited untuk bekerja rapat bersama Kementerian Pengangkutan serta agensi Persekutuan yang terkait agar proses pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey dapat dioptimumkan serta mewujudkan Zon Ekonomi Khas dalam kawasan ini," katanya lagi.




Comments