top of page

Pejabat MB S'gor sedia pek makanan percuma peserta himpunan anjuran Pas

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Pejabat Menteri Besar Selangor bakal menyediakan 1,000 pek makanan dan minuman kepada peserta Himpunan Daulat Tuanku anjuran Pemuda Pas Selangor yang dijadual berlangsung Sabtu.


Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan selagi dilaksanakan secara aman, tertib serta mematuhi undang-undang.


Justeru jelasnya sumbangan pek makanan itu adalah sebagai tanda sokongan terhadap budaya demokrasi matang dan aman.


"Himpunan ini perlu dilihat dalam konteks hak untuk semua pihak mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.


"Institusi diraja merupakan payung penyatuan rakyat yang perlu dihormati tanpa mengira fahaman politik. Ia tidak wajar dipolitikkan secara keterlaluan sehingga menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.


"Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya membawa kepada kompromi terhadap semangat kesetiaan kepada Raja dan negara seperti termaktub dalam Rukun Negara," katanya.

Sementara itu menerusi kenyataan sama Saifuddin mengingatkan orang awam agar menolak budaya provokasi, penghinaan dan kenyataan melampau yang boleh menjejaskan keharmonian negeri serta menggugat kestabilan masyarakat majmuk di Selangor.


Beliau turut menegaskan, menjunjung Raja tidak boleh sekadar slogan politik atau retorik bermusim, tetapi perlu diterjemahkan melalui penghormatan terhadap Perlembagaan, undang-undang serta usaha mengekalkan keamanan dan kestabilan negeri.


"Saya percaya majoriti rakyat Selangor cukup matang untuk membezakan antara perbezaan politik dengan soal kesetiaan kepada institusi diraja dan kepentingan negeri," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page