PBT di Selangor diseru main peranan perkasa ekosistem sukan


Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diseru memainkan peranan dalam memperkasa bakat atlet di negeri itu.
Exco Sukan, Mohd Najwan Halimi (gambar) berkata, usaha pembangunan bakat itu bukan hanya hanya tanggungjawab Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak bagi membentuk ekosistem sukan yang lebih kukuh.
Justeru setiap PBT di negeri itu mengenal pasti sukan yang berpotensi untuk diketengahkan di kawasan masing-masing dan menyediakan kemudahan dan infrastruktur berkaitan.
"Setiap PBT angkat satu sukan sebagai anak angkat. Contohnya, Sepang mengangkat silat sebagai sukan anak angkat.
"Pendekatan ini bagi memastikan setiap daerah mempunyai kekuatan dan identiti sukan tersendiri, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada anak muda untuk mengembangkan bakat mereka," katanya dipetik laporan media.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kita Anggerik itu berkata demikian pada sidang media pencapaian atlet Para SUKMA di Shah Alam pada Jumaat.
Najwan sementara itu mahu tanggapan bahawa bidang sukan tidak memberikan pulangan atau keuntungan secara langsung diubah. Beliau menegaskan pembangunan sukan merupakan pelaburan jangka panjang terhadap potensi generasi muda.
"Kita mahu mereka menjadi insan yang serba boleh. Aktiviti sukan dan akademik perlu seimbang," katanya.
Selangor mencipta sejarah muncul juara keseluruhan Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 dengan kutipan 200 pingat, sekali gus melengkapkan kejuaraan berganda selepas menjuarai SUKMA 2026, bulan lalu.
Kontinjen Para SUKMA tuan rumah mengumpulkan 93 pingat emas, 55 perak dan 52 gangsa untuk muncul juara keseluruhan.




Comments