Pastikan SUKMA Selangor 2026 berlangsung lancar - MB Amirudin
- Azuan Ab Rahman

- Jul 17
- 1 min read

Kerajaan Selangor memberi komitmen untuk memastikan semua persiapan bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor 2026 berjalan mengikut jadual.
Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini pihaknya akan memberi keutamaan kepada kesiapsiagaan infrastruktur dan venue pertandingan menjelang pembukaan temasya itu pada 15 Ogos depan.
"Keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini adalah memastikan semua kemudahan dan prasarana disiapkan mengikut perancangan kerana aspek ini akan menjadi penentu kejayaan penganjuran SUKMA 2026," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Hantaran itu menyusul Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola (Induk) SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 yang dipengerusikannya pada Khamis.
Temasya tersebut dijadual mempertandingkan 28 sukan teras, manakala lima lagi sukan tambahan sedang dimuktamadkan, menjadikan keseluruhan sehingga 33 jenis sukan.
Ia dijangka akan menjadi edisi terbesar pernah dianjurkan dengan penyertaan lebih 15,000 atlet dan pegawai mewakili 14 negeri serta Wilayah Persekutuan.
Sementara itu Amirudin menerusi hantaran sama menyatakan keyakinan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Majlis Sukan Negara, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan dan sekretariat penganjur mampu memastikan SUKMA serta Para SUKMA Selangor 2026 berlangsung lancar.
"Insya-Allah, Selangor komited untuk menjadi tuan rumah yang terbaik dan memastikan SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 meninggalkan legasi yang membanggakan buat negeri dan negara," katanya.




Comments