Pertandingan snooker antara komuniti Kuantan sempena Hari Malaysia meriah


Persatuan Panji Kuantan Optima (PKO) telah berjaya menganjurkan Pertandingan Snooker Antara Komuniti Kuantan sempena sambutan Hari Malaysia 2026 yang berlangsung di Mega Mall Kuantan, baru baru ini.
Program yang menghimpunkan peminat sukan snooker dari pelbagai komuniti itu telah dirasmikan majlis penutupan dan penyampaian hadiahnya oleh Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi.
Pertandingan yang berlangsung dengan lancar bermula jam 10.00 pagi sehingga 12.00 malam itu mempertandingkan dua kategori iaitu acara berkumpulan dan individu.
Sebanyak empat komuniti telah mengambil bahagian iaitu Komuniti Kampung Sungai Soi, Komuniti Kampung Ubai, Komuniti Taman Seri Belat dan Komuniti PKO sendiri. Saingan sengit dan semangat kesukanan jelas terpancar di kalangan peserta sepanjang kejohanan berlangsung.
Menurut Ketua Penganjur Program, Baharudin Mahussin, pelbagai hadiah menarik telah disediakan kepada para pemenang termasuk wang tunai dan hamper sebagai penghargaan atas penyertaan dan semangat kesukanan yang ditunjukkan.

"Objektif utama penganjuran sukan snooker ini adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama anggota komuniti di Kuantan di samping mengisi cuti Hari Malaysia dengan aktiviti yang sihat dan berfaedah," katanya.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Fakhrul Anuar mengambil kesempatan menyampaikan maklumat berkaitan Kerajaan MADANI serta inisiatif-inisiatif kerajaan dalam membantu komuniti setempat, antaranya Geran Sejati MADANI dan Geran Sejahtera MADANI.
Beliau berharap agar komuniti-komuniti di Kuantan dapat mengambil manfaat daripada inisiatif yang disediakan kerajaan bagi memperkukuh ekonomi dan kesejahteraan komuniti akar umbi.
Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah dan bergambar beramai-ramai bersama para peserta dan penganjur.




Comments