Belanjawan 2027: Lonjakkan industri pemprosesan buah-buahan, tingkat pendapatan petani


Kerajaan disaran menjadikan Belanjawan 2027 sebagai pemangkin untuk mengindustrikan sektor buah-buahan negara dengan memberi tumpuan kepada pemprosesan, rantaian bekalan, eksport dan penghasilan produk bernilai tambah tinggi.
Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali (gambar) berkata, pendekatan terhadap sektor berkenaan tidak seharusnya lagi tertumpu kepada bantuan input, subsidi, benih dan peningkatan pengeluaran semata-mata.
Sebaliknya, katanya, keseluruhan rantaian nilai daripada ladang sehingga produk akhir dan pasaran eksport perlu diberikan perhatian.
"Pada pandangan saya, inilah masa yang sesuai untuk kita melihat buah-buahan bukan lagi sekadar isu pertanian, tetapi sebagai agenda pelaburan, pekerjaan, pemprosesan, eksport dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar.
"Saya berharap Belanjawan 2027 memberikan satu lonjakan baharu – daripada membiayai aktiviti pertanian semata-mata kepada membiayai pembentukan industri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, peruntukan kerajaan juga perlu dinilai berdasarkan hasil yang dicapai, termasuk jumlah pelaburan swasta yang berjaya ditarik, produk baharu dihasilkan, peluang pekerjaan diwujudkan dan nilai eksport ditambah.
Sehubungan itu, Sheikh Umar mencadangkan pewujudan dana khusus pembangunan industri pemprosesan buah-buahan bagi membiayai pembangunan kilang, mesin pemprosesan, teknologi pembungkusan, rantaian sejuk, penyimpanan, penggredan dan automasi.
Katanya, keutamaan boleh diberikan kepada projek yang mempunyai kontrak bekalan dengan petani, sasaran eksport, penggunaan teknologi tempatan serta potensi menghasilkan produk bernilai tinggi.
Beliau berkata, kerajaan tidak semestinya perlu memiliki atau membina semua kilang pemprosesan, sebaliknya berperanan sebagai pemangkin pelaburan menerusi penyediaan infrastruktur, pembiayaan, jaminan, insentif dan ekosistem yang sesuai.
"Persoalannya, bagaimana sebahagian daripada pelaburan tersebut boleh disalurkan dengan lebih strategik kepada pemprosesan buah-buahan tempatan agar bahan mentah yang dihasilkan oleh petani kita tidak hanya dijual sebagai komoditi, tetapi menjadi produk makanan Malaysia yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan memberi perhatian kepada isu kehilangan hasil selepas tuaian (post-harvest loss), khususnya melalui pembangunan rantaian sejuk, pusat pengumpulan moden, penggredan, pembungkusan dan kemudahan pasca tuaian.
Katanya, buah-buahan yang tidak memenuhi spesifikasi pasaran segar juga masih boleh dimanfaatkan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan produk seperti puree, jus, concentrate, serbuk dan jem.
"Buah yang tidak memenuhi spesifikasi pasaran segar tidak semestinya menjadi suatu pembaziran. Dengan adanya pusat pemprosesan yang berdekatan, buah yang kurang cantik dari segi rupa tetapi masih baik kualitinya boleh diserap sebagai bahan mentah untuk puree, jus, concentrate, serbuk, jem atau produk makanan lain," ujarnya.
Sheikh Umar turut menekankan kepentingan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mempunyai laluan jelas daripada makmal kepada industri dan pasaran.
Menurutnya, ruang penyelidikan dalam industri buah-buahan amat luas termasuk pembangunan varieti yang sesuai untuk pemprosesan, teknologi memanjangkan jangka hayat, freeze-drying, formulasi makanan, bahan ramuan, pembungkusan, automasi dan penggunaan hasil sampingan.
Beliau berkata, kerjasama antara universiti, institusi penyelidikan, agensi kerajaan dan sektor swasta perlu diperkukuh supaya penyelidikan dapat menyelesaikan masalah sebenar industri dan menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan.
Dalam aspek eksport pula, katanya, Malaysia perlu bergerak daripada sekadar mengeksport buah segar kepada pengeksport produk makanan berasaskan buah, ramuan makanan, produk premium dan jenama tempatan.
"Malaysia tidak seharusnya hanya mengeksport buah segar. Kita perlu mengeksport produk makanan berasaskan buah, ramuan makanan, produk premium dan jenama Malaysia," katanya.
Beliau turut mencadangkan sokongan lebih kukuh diberikan dalam aspek pensijilan, pematuhan standard negara pengimport, pembangunan jenama, pemasaran antarabangsa, halal, keselamatan makanan dan akses pasaran.
Selain itu, katanya, pembangunan bakat juga perlu menjadi sebahagian daripada agenda Belanjawan 2027 bagi melahirkan tenaga mahir dalam bidang pemprosesan makanan, automasi, kawalan kualiti, pembungkusan, teknologi makanan dan rantaian bekalan.
"Industriaslisasi tidak akan berlaku tanpa manusia yang mempunyai kemahiran yang sesuai.
"Kita mahu anak-anak muda bukan hanya melihat pertanian sebagai pekerjaan di ladang, tetapi melihat peluang kerjaya dalam agroprocessing, teknologi makanan, automasi dan eksport," katanya.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu juga berkata, keberhasilan program berkaitan buah-buahan juga perlu diukur berdasarkan outcome, semata-mata jumlah peruntukan yang dibelanjakan.
Katanya, antara ukuran yang perlu diperhatikan ialah jumlah pelaburan swasta yang ditarik, kilang yang beroperasi secara komersial, petani yang mendapat pasaran, pekerjaan diwujudkan, produk baharu dikomersialkan dan nilai eksport dijana.
"Bagi sektor buah-buahan, ukuran akhirnya haruslah mudah: adakah kita berjaya meningkatkan nilai yang terhasil daripada setiap kilogram buah yang dihasilkan oleh petani Malaysia?
"Bukan sekadar lebih banyak buah. Tetapi lebih banyak nilai daripada buah yang kita hasilkan," katanya lagi.




Comments