top of page

FELDA: Pembaharuan menyeluruh diperlukan, bukan ulangi kitaran hutang

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
42 minutes ago
1 min read

Komitmen kerajaan berjumlah RM9.9 bilion berupa bantuan kewangan kepada FELDA tidak boleh menjadi sekadar penyelamat, sebaliknya mesti diterjemahkan kepada pembaharuan menyeluruh dalam tadbir urus, ketelusan dan perlindungan aset, tegas Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri.


Beliau berkata, FELDA tidak boleh terus berada dalam kitaran hutang, bantuan, penstrukturan dan masalah baharu yang berulang tanpa penyelesaian tuntas.


"Kita mesti membina FELDA yang mampu berdiri kukuh, menjana nilai dan memberi manfaat kepada peneroka tanpa terus bergantung kepada sokongan kerajaan.


"FELDA mesti memperkukuh tadbir urus, perlindungan aset, disiplin pelaburan, ketelusan kewangan, produktiviti ladang dan kebajikan peneroka.


"Akhirnya ukuran kejayaan bukan berapa besar nilai aset FELDA. Ukuran sebenar ialah peneroka lebih sejahtera, aset lebih selamat, pendapatan lebih kukuh dan masa depan generasi kedua serta ketiga lebih terjamin," katanya dalam satu kenyataan.


Mohd Yahya Mat Sahri
Mohd Yahya Mat Sahri

Dalam pada itu, Mohd Yahya menyifatkan perkembangan terbaharu dalam bantuan kewangan kepada FELDA itu harus menjadi titik perubahan dan bukannya sekadar satu lagi episod polemik.


Beliau yang turut dikenali sebagai Pak Ya berkata, kerajaan telah memberikan komitmen besar kepada institusi berkenaan termasuk pengurangan prinsipal hutang FELDA sebanyak RM7.9 bilion dan komitmen RM990 juta setahun selama 10 tahun.


"Pada masa sama, 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion juga telah distruktur dan dilupuskan. Ini wang yang sangat besar.


"Maka FELDA tidak boleh lagi ditadbir dengan budaya lama. Saya turut menyambut baik laporan interim HTF30 yang telah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 September lalu.


"Kini rakyat mahu melihat tindakan, bukannya sekadar laporan," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page