Pastikan pekeliling sistem kerja fleksi doktor junior dipatuhi
- Suara Keadilan

- 10 hours ago
- 1 min read

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) memberi komitmen bahawa kementeriannya akan memastikan semua hospital kerajaan mematuhi sepenuhnya pekeliling baharu berkaitan sistem waktu kerja fleksi bagi Pegawai Perubatan Siswazah (PPS).
Menurutnya, garis panduan itu dipantau sepenuhnya di bawah tanggungjawab Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab selaku ketua perkhidmatan perubatan.
"Kita akan pastikan pematuhan hospital dalam perkara ini. Itu adalah pekeliling yang dipantau sendiri dan di bawah tanggungjawab Ketua Pengarah Kesihatan.
"Jadi, kita akan terus pastikan semua hospital patuh kepada pekeliling yang baharu dikeluarkan itu," katanya dipetik pada sidang media di Cyberjaya semalam.
Dr Dzulkefly baru-baru ini memaklumkan, satu pekeliling baharu berkaitan garis panduan tempoh had waktu bekerja bagi PPS akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Ia sebagai maklum balas terhadap aduan Malaysian Medics International (MMI) yang mendakwa golongan doktor junior di negara ini bekerja antara 65 hingga 85 jam seminggu yang jauh lebih tinggi berbanding negara lain termasuk United Kingdom (UK) dan Ireland.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menegaskan bahawa matlamat utama latihan bagi doktor junior dalah untuk memperkasa kemahiran klinikal mereka.
"Kita mahu melatih perkhidmatan houseman kita (supaya mereka tahu) mereka bukan sekadar 'extra pair of hands' seperti yang disebutkan Ketua Pengarah Kesihatan.
"Malah, ramai yang merasakan mereka sangat puas hati apabila berpeluang menjalankan prosedur-prosedur yang diberikan serta mendapat peluang (pembelajaran) kepada mereka," jelasnya.




Comments