top of page

Pasport Malaysia nombor dua dunia, bukti keyakinan global – Saifuddin

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
3 hours ago
2 min read

Pasport Malaysia melonjak ke kedudukan kedua dunia pada 2026, meningkat satu anak tangga daripada tempat ketiga sebelum ini, dengan akses rakyat ke 175 destinasi global.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pencapaian itu mencerminkan peningkatan keyakinan dunia terhadap kestabilan, keselamatan dan integriti sistem negara.


Menurut beliau, perkembangan berkenaan selari dengan kerangka Ekonomi MADANI, khususnya usaha menaikkan siling pertumbuhan negara melalui peluasan jangkauan antarabangsa, pengukuhan kedudukan diplomatik dan peningkatan daya saing Malaysia di pentas dunia.


"Daripada tangga ketiga, ke tangga kedua dunia. Pada tahun 2026, pasport Malaysia berjaya melonjak ke kedudukan kedua tertinggi di peringkat global," katanya dalam kenyataan.


Saifuddin berkata, akses antarabangsa rakyat Malaysia turut meningkat daripada 174 kepada 175 destinasi merentas benua, sekali gus memberikan mobiliti lebih luas kepada pemegang pasport Malaysia.


Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Beliau berkata, pencapaian itu adalah hasil usaha berterusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam memastikan sistem imigresen dan dokumen perjalanan negara terus mempunyai tahap integriti serta keselamatan yang tinggi.


"KDN dan JIM kekal konsisten dalam memperkukuh keselamatan sempadan negara tanpa kompromi terhadap aspek keselamatan dan kedaulatan; meningkatkan kecekapan sistem imigresen dan mutu penyampaian perkhidmatan supaya sentiasa responsif terhadap keperluan rakyat; dan memelihara integriti pasport dan dokumen perjalanan Malaysia agar terus dihormati serta diyakini di peringkat antarabangsa," katanya.


Menurut Saifuddin, kedudukan tinggi pasport Malaysia dalam carta dunia hanya benar-benar bermakna sekiranya pencapaian itu dapat diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai rakyat.


Katanya, kedudukan tersebut antaranya memudahkan rakyat Malaysia yang melancong, menjalankan urusan dan melakukan perjalanan ke luar negara dengan akses lebih luas.


"(Ia) membuka lebih banyak ruang kepada anak-anak muda untuk meneroka peluang pendidikan tinggi serta membina pengalaman dan kerjaya di peringkat antarabangsa.


"Juga memudahkan usahawan Malaysia meneroka pasaran baharu, membina jaringan perniagaan antarabangsa serta membuka lebih banyak peluang ekonomi yang akhirnya membawa manfaat kepada keluarga dan negara," katanya yang juga pemangku Timbalan Presiden KEADILAN.


Saifuddin menegaskan kedudukan pasport Malaysia sebagai pasport nombor dua dunia bukanlah pengakhiran kepada penambahbaikkan, sebaliknya menjadi dorongan kepada KDN dan JIM untuk terus memperkukuh integriti, meningkatkan kecekapan serta menambah baik mutu perkhidmatan kepada rakyat.


"Kedudukan Pasport Malaysia sebagai pasport nombor 2 dunia bukanlah titik akhir.


"Ia menjadi dorongan kepada KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk terus memperkukuh integriti, meningkatkan kecekapan serta menambah baik mutu perkhidmatan kepada rakyat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page