top of page

Pasport Malaysia baharu sah 10 tahun mula 1 Julai

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 22 hours ago
  • 2 min read

Rakyat Malaysia kini mempunyai pilihan untuk memiliki Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku sehingga 10 tahun mulai esok, menerusi struktur baharu yang diperkenalkan kerajaan.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan berkata pelaksanaan PMA struktur baharu itu merupakan langkah transformasi dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara selain memberi lebih kemudahan kepada rakyat.


Pelancaran PMA baharu itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ruang legar bangunan Parlimen hari ini.


"Pengenalan PMA struktur baharu ini merupakan satu langkah transformasi penting dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara, di samping memberikan lebih kemudahan dan nilai tambah kepada rakyat Malaysia," kata KDN dalam kenyataan hari ini.


Menurut KDN, mulai 1 Julai ini, rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas boleh memilih permohonan pasport dengan tempoh sah laku lima tahun atau 10 tahun mengikut keperluan masing-masing.


Bagi pasport tempoh 10 tahun, kadar bayaran ditetapkan RM350 manakala bayaran bagi tempoh lima tahun kekal RM200.


KDN berkata pengenalan tempoh sah laku lebih panjang itu dijangka mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport sekali gus menjimatkan masa pengguna selain memudahkan urusan perjalanan dalam dan luar negara.


"Pengenalan tempoh sah laku 10 tahun ini turut memberi penjimatan sebanyak RM50 kepada pemohon berbanding kos pembaharuan pasport lima tahun yang perlu dilakukan dua kali bagi tempoh yang sama," katanya.


Selain tempoh sah laku lebih lama, PMA baharu turut dipertingkat dari segi ciri keselamatan dengan 94 ciri keselamatan berbanding 49 ciri keselamatan pada PMA sedia ada.


Antara ciri keselamatan diperkenalkan termasuk guilloche, latent image, rainbow printing, line width modulation, hologram serta cetakan ultraviolet (UV) bagi meningkatkan perlindungan terhadap pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan dokumen perjalanan negara.


KDN berkata Malaysia yang merupakan antara negara terawal memperkenalkan e-Pasport sejak 1998, terus memperkukuh kedudukan itu menerusi penggunaan teknologi keselamatan terkini yang mematuhi piawaian antarabangsa ditetapkan International Civil Aviation Organization (ICAO).


Dari aspek identiti nasional, PMA baharu turut menampilkan elemen sejarah, warisan budaya dan simbolik sistem Raja Berperlembagaan dengan memperkenalkan rama-rama Rajah Brooke’s Birdwing sebagai ikon utama menggantikan Bunga Raya pada pasport sedia ada.


Pelaksanaan PMA struktur baharu akan dibuat secara berperingkat di 71 pejabat pasport seluruh negara mulai Julai ini, manakala mesin pencetak generasi baharu yang digunakan berkeupayaan mencetak sehingga 60 pasport sejam bagi menyokong pengeluaran purata 160,000 pasport sebulan.


Bagaimanapun, KDN menasihatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa menukar pasport sedia ada sekiranya dokumen berkenaan masih sah kerana ia masih boleh digunakan sehingga enam bulan sebelum tamat tempoh.


"Pasport Malaysia kini terus berdiri sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia. Pengenalan PMA struktur baharu ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memastikan dokumen perjalanan negara kekal selamat, moden, dipercayai dan setanding dengan amalan terbaik antarabangsa," kata KDN lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page