top of page

Pasca PRN: Bangkitlah Reformasi, Hentikan Alasan, Perbetul Kelemahan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 9 hours ago
  • 3 min read

Oleh: Lai Chen Heng


ULASAN: Siri kekalahan berturut turut di Sabah, Johor dan terbaharu di Negeri Sembilan seharusnya menjadi loceng amaran yang menyedarkan blok reformasi.


Bagi pengundi bandar dan minoriti yang meletakkan sepenuh kepercayaan merangkumi peratusan besar sokongan kaum, keputusan ini bukan sekadar satu tamparan pilihanraya tetapi diterjemahkan oleh sebahagian rakyat sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap harapan yang dipertaruhkan.


Apabila parti reformasi terlalu lama mengelak daripada membuat keputusan sukar atas alasan menjaga kestabilan gabungan asas sokongan mula retak dari dalam.


Hakikatnya, puncanya jauh lebih mendalam bermula daripada kebergantungan pada taktik kempen lapuk sehinggalah kepada kelesuan dalam menyantuni khidmat di peringkat akar umbi.


Formula ceramah besar


Gaya kempen pilihanraya kita hari ini dilihat masih terperangkap dalam acuan politik masa lalu. Tidak dinafikan formula ceramah besar pernah melakar sejarah politik negara. Namun formula ceramah dan konvoi bermotor kini sudah tawar.


Barisan pemimpin dan menteri kerap hadir dengan skrip yang sama mengeji musuh sambil melaungkan agenda nasional yang besar. Tanpa penguasaan akar umbi yang kukuh maka calon terpaksa bergantung sepenuhnya kepada naratif makro.


Malangnya apabila berhadapan dengan gelombang sentimen kaum dan agama yang dimainkan sebelah pihak, hujah tadbir urus yang baik tenggelam begitu sahaja. Ceramah besar akhirnya hanya menjadi ruang gema slogan, gagal menggantikan sentuhan manusiawi secara bersemuka di lapangan.


Isu tempatan dekat di hati


Agenda makro memang penting tetapi isu remeh temeh di peringkat tempatan jauh lebih dekat di hati rakyat marhaen. Pengundi hari ini amat teliti, mereka menilai siapa yang rajin turun padang menguruskan urusan kematian menyantuni majlis keramaian, menghidupkan program komuniti serta menyelesaikan isu infrastruktur asas seperti longkang tersumbat dan jalan rosak.


Amalan meletakkan calon payung terjun yang langsung tidak mengenali kariah setempat wajib dihentikan. Tindakan ini hanya meminggirkan jentera tempatan yang akhirnya bertindak merajuk di bilik gerakan, memaksa parti bergantung kepada pelancong politik yang hanya tahu merakam gambar sebagai bukti kerja. Sebaliknya calon tempatan membawa faktor kebiasaan yang mampu merentasi batasan parti.


Politik identiti


Landskap politik kita kian dicemari oleh manipulasi identiti sempit. Apabila isu perkauman dijadikan perisai untuk menutup kelemahan dasar dan sentimen agama digunakan bagi menangkis kritikan, kebenaran mula tumpul.


Tidak dapat dinafikan sebahagian masyarakat masih mudah terpedaya dengan retorik emosi berbanding hujah rasional pakar ekonomi. Mentaliti feudalisme era lampau masih menebal di mana taksub kepada lambang atau retorik sempit lebih diagungkan berbanding pembangunan ekonomi yang mampan.


Cabaran terbesar reformasi bukan sekadar datang daripada pihak lawan tetapi kerosakan yang berlaku dalam struktur dalaman parti sendiri. Perbalahan fraksi, keangkuhan pemimpin dan penyingkiran individu berwibawa telah melemahkan sinergi jentera.


Apabila jentera yang bekerja keras dikesampingkan manakala jawatan dihadiahkan kepada golongan tukun ikan, yakni pimpinan hiasan yang memegang pelbagai gelaran tetapi membisu seribu bahasa di lapangan, dan hanya muncul di pentas semata mata untuk bergambar, keyakinan rakyat pasti terjejas.


Parti tidak boleh tuli kepada suara bawahan. Harapan terhadap agenda pembangunan negara masih menyala namun kejayaan dasar makro sering kali tumpas di tangan persepsi ketuanan dan ketakutan kaum yang dimomokkan pihak tertentu. Tempoh terdekat adalah fasa kritikal untuk mengubah landskap ini.


Mula lakukan reformasi


Antara langkah yang perlu diberi tumpuan merangkumi penerjemahan kemasukan pelaburan asing kepada peluang pekerjaan nyata untuk anak tempatan, menghentikan pelaksanaan dasar yang merumitkan kos sara hidup rakyat, membanteras sebaran berita palsu dan elemen hasutan secara tegas serta menampilkan keberanian politik untuk menilai semula ketelusan kes berprofil tinggi.


Sudah tiba masanya arena politik kembali kepada mandat asal bersaing atas dasar kecekapan dan berkhidmat dengan integriti mutlak demi rakyat. Berhenti menuding jari dan mulalah melakukan reformasi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page