top of page

Pasaran modal Malaysia melonjak ke paras tertinggi RM4.3 trilion

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Apr 24
  • 2 min read

Pasaran modal Malaysia terus mempamerkan daya tahan kukuh apabila mencatat pertumbuhan 3.2%, sekali gus melonjak ke paras tertinggi RM4.3 trilion pada 2025 berbanding RM4.2 trilion tahun sebelumnya, didorong peningkatan terbitan bon korporat dan aliran masuk dana yang semakin rancak.


Menurut Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi, pasaran modal Malaysia kekal menunjukkan daya tahan meskipun berdepan persekitaran ekonomi yang tidak menentu.


Selain itu, Pasaran Modal Islam (ICM) juga kekal kukuh apabila mencatat pertumbuhan 4.31%, sekali gus mencecah nilai RM2.7 trilion pada tahun 2025.


Prestasi memberangsangkan itu turut disokong perkembangan positif dalam industri pengurusan dana apabila aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat 6.9% kepada paras tertinggi RM1.14 trilion, didorong pulangan lebih baik bagi sekuriti pendapatan tetap dan penilaian aset yang lebih tinggi.


Bukan itu sahaja, malah jumlah dana yang diperoleh melalui pasaran modal melonjak 35.4% kepada RM187.7 bilion, mencerminkan keyakinan pelabur yang terus kukuh terhadap pasaran tempatan.


Aktiviti tawaran awam permulaan (IPO) juga mencatat peningkatan apabila sebanyak 60 syarikat disenaraikan sepanjang 2025, mengatasi 55 IPO yang direkodkan pada tahun sebelumnya, sekali gus menandakan sentimen pasaran yang semakin positif.


Sementara itu, industri modal teroka dan ekuiti persendirian turut berkembang apabila jumlah dana yang dikhaskan meningkat 21.66% kepada RM30.05 bilion, mencerminkan minat berterusan terhadap pelaburan berisiko tinggi namun berpotensi membawa pulangan besar.


Pada masa yang sama, saluran pembiayaan alternatif terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat pertumbuhan sederhana (MTC), dengan jumlah pembiayaan mencecah RM5.7 bilion sepanjang tahun lalu.


Di platform media sosial, seorang pengguna yang dikenali sebagai Ajit Aim memuji perkembangan positif itu di bawah kepimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.


Antara reaksinya ialah ‘kukuh di dalam negara, menjadi kuat di peringkat antarabangsa.’


Seorang lagi pengguna media sosial, Dayana Basri, menyifatkan perkembangan tersebut sebagai pencapaian yang wajar diberi pujian, malah mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kekuatan pasaran modal negara.


"Pasaran modal Malaysia naik RM4.31 trilion ni bukan kecil, ini tanda keyakinan pelabur makin kuat. Ekonomi kita ‘on the right track," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page