top of page

Pas-BN: 'Perpaduan ke arah kebinasaan Melayu'

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
54 minutes ago
2 min read

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abd Samad menyifatkan kerjasama Umno-Barisan Nasional (BN) dengan Pas dan sekutunya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai gabungan politik yang amat merugikan orang Melayu.


Beliau berkata kerjasama itu memperlihatkan Pas semakin mengetepikan prinsip perjuangan Islam yang selama ini menjadi asas parti berkenaan demi mendapatkan kuasa politik bersama parti sekular Umno.


Manakala katanya, pengumuman Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung pembahagian kerusi untuk PRN Melaka menjelaskan kedudukan setiap parti yang bakal bertanding.


"Pembahagian 21 kerusi kepada Umno-BN dan tujuh kerusi kepada Pas dan rakan-rakan Pas menjelaskan kedudukan sebenar Pas sebagai hanya sekadar budak suruhan dan macai Umno-BN dalam arena politik negara.


"Ke mana perjuangan Pas yang selama ini dibawanya atas prinsip Islam yang menolak asabiah, kezaliman, rasuah dan salah guna kuasa?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Khalid Samad
Khalid Samad

Beliau turut mengkritik pendekatan politik Umno dan Pas dengan menggunakan istilah “politik sakau” dan “politik pukau” bagi menggambarkan dakwaan salah guna kuasa serta ketaatan membuta tuli dalam kalangan penyokong.


Menurut Khalid, Umno dan rakan-rakannya dalam BN didakwa mengamalkan politik yang menggunakan kekayaan untuk meraih sokongan rakyat, manakala Pas pula didakwa membentuk ketaatan tanpa soal terhadap kepimpinannya.


"Umno dan rakan-rakannya dalam BN, seperti MCA dan MIC, ingin terus menyuburkan budaya politik sakau dan sangat bangga dengannya," ujar Khalid.


Dalam pada itu, Khalid mencadangkan agar Pakatan Harapan (PH) bergerak secara bersendirian pada PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.


Katanya, langkah itu membolehkan PH menawarkan gagasan, dasar dan calon yang jelas kepada rakyat tanpa kekeliruan akibat percaturan kerjasama dengan parti lain.


"Pendekatan ini akan membolehkan Pakatan Harapan menawarkan gagasan, dasar dan calon yang jelas berprinsip kepada rakyat tanpa kekeliruan akibat percaturan kerjasama dengan parti-parti lain.


"Pada masa yang sama, pendirian ini dapat memperkukuh identiti, akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap perjuangan Pakatan Harapan. Kita menolak politik sakau Umno dan pukau Pas," katanya.


Beliau menegaskan bahawa ancaman terhadap orang Melayu dan Islam, pada pandangannya, bukan berpunca daripada PH atau DAP, sebaliknya daripada amalan politik yang didakwanya diamalkan Umno dan Pas.


Khalid berkata, PH perlu memperkenalkan pilihan politik yang mengutamakan tadbir urus baik, kecekapan, keberkesanan pentadbiran dan kebajikan rakyat.


"Prestasi baik menjadi tumpuan mereka bersama dan hanya melalui ini sahajalah bangsa Melayu dan bangsa Malaysia seluruhnya akan diselamatkan daripada kebinasaan," katanya.


Beliau turut mencadangkan slogan “Tolak politik sakau dan pukau, tolak UMNO dan PAS!” dijadikan cogan kata PH bagi menghadapi PRN Melaka dan PRU-16.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page