top of page

'Pas tuduh Bersatu macam macam, tapi beri kerusi PRN Johor'

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 day ago
  • 2 min read

Pas perlu menjelaskan pendiriannya berhubung kerjasama politik dengan Bersatu selepas mendakwa parti itu melakukan pelbagai pelanggaran dalam Perikatan Nasional (PN), namun masih memberi ruang kepada calon Bersatu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan Pas itu dilihat bercanggah kerana terus bekerjasama dengan Bersatu walaupun sebelum ini memutuskan hubungan dengan parti berkenaan.


"Ini bukan tuduhan kecil, tetapi melibatkan soal integriti politik, amanah perjuangan dan prinsip yang menjadi asas perjuangan Pas," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sebelum ini, Presiden Pas, Hj Hadi Awang mendakwa Bersatu mengkhianati Pas di Perlis, menggagalkan usaha politik di Negeri Sembilan, melanggar prinsip syariah dalam kerjasama politik, serta menjejaskan perpaduan PN.


Menurut Mahfuz, persoalan utama ialah mengapa Bersatu masih dibenarkan bertanding menggunakan lambang PN jika semua dakwaan itu benar.


"Jika semua tuduhan itu benar, mengapa Bersatu masih diberi 16 kerusi dalam PRN Johor menggunakan lambang PN? Mengapa watikah calon Bersatu masih ditandatangani Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas?" soalnya.


Beliau turut mempersoalkan tindakan Pas yang masih menggerakkan sokongan ahli dan penyokongnya untuk membantu calon Bersatu walaupun parti itu didakwa mempunyai masalah dalam gabungan tersebut.


Mahfuz berkata, keadaan lebih menghairankan apabila Bersatu tetap menerima jumlah kerusi terbesar berbanding parti lain dalam PN, iaitu 16 kerusi, berbanding Pas (11), MIPP (5) dan Pejuang (1).


"Adakah tuduhan Pas terhadap Bersatu benar-benar berasaskan prinsip, atau sekadar sebahagian daripada perebutan pengaruh dalam PN?" katanya.


Menurut beliau, jika Pas benar-benar percaya Bersatu telah mengkhianati perjuangan parti dan melanggar prinsip yang diperjuangkan, tindakan lebih konsisten ialah menyingkirkan Bersatu daripada PN atau tidak memberi laluan kepada parti itu bertanding atas tiket gabungan berkenaan.


"Sebaliknya Pas masih bergantung kepada Bersatu untuk menghadapi pilihanraya walaupun terus melemparkan dakwaan berat terhadap parti itu," katanya.


Mahfuz berkata keadaan itu menimbulkan persoalan terhadap kemampuan PN meyakinkan rakyat bahawa gabungan tersebut mampu mentadbir Johor dengan baik.


Beliau menegaskan rakyat Johor berhak mendapat penjelasan kerana mereka memerlukan kepimpinan yang jelas, konsisten dengan prinsip dan jujur, bukan gabungan yang dilihat bercakap sesuatu tetapi bertindak sebaliknya apabila tiba musim pilihan raya.


"Bagaimana sebuah gabungan yang saling menuduh dan gagal menyelesaikan masalah dalaman sendiri mahu menawarkan kestabilan kepada rakyat?" soal beliau lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page