Pas tolak 'Rumah Bangsa': Siapa sebenarnya tolak perpaduan politik Melayu?
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Pendirian Pas menolak gagasan “Rumah Bangsa” dipelopori UMNO, yang bertujuan membuka ruang dialog dan menyatukan fikrah bagi meredakan perpecahan politik orang Melayu dipersoalkan oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Beliau berkata kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang melabel gagasan tersebut sebagai “waswas bisikan syaitan” dalam tulisan terbaharunya menimbulkan persoalan terhadap komitmen parti itu terhadap usaha memantapkan perpaduan Melayu-Islam.
"Gagasan Rumah Bangsa hanyalah satu usaha membuka pintu dialog bagi meredakan perpecahan politik Melayu yang semakin meruncing. Namun Pas memilih untuk menutup pintu tersebut sebelum perbincangan bermula," ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Mahfuz, situasi itu menimbulkan persoalan sama ada Pas benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan perpaduan Melayu-Islam seperti yang sering dilaungkan oleh parti berkenaan.
Beliau turut mengingatkan bahawa selepas Pilihan Raya Umum ke 15 pada November 2022, Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika itu telah menitahkan agar parti-parti politik mencari jalan membentuk kerajaan perpaduan demi kestabilan negara.
Namun katanya, gabungan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh pengerusinya, Muhyiddin Yassin bersama Hj Hadi menolak cadangan membentuk kerajaan campuran bersama Pakatan Harapan, walaupun negara berdepan kebuntuan politik.
"Akhirnya kerajaan perpaduan terbentuk di bawah pimpinan Anwar Ibrahim bagi memastikan negara tidak terus terjerumus dalam krisis politik," katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan terdapat percanggahan antara retorik ancaman terhadap Melayu-Islam dengan tindakan menolak usaha perpaduan politik.
"Jika benar Melayu-Islam terancam, maka perpaduan sepatutnya menjadi kewajipan. Tetapi apabila setiap usaha perpaduan ditolak, rakyat berhak bertanya sama ada naratif ancaman tersebut hanyalah propaganda politik untuk mengekalkan sokongan," ujarnya.
Pada masa sama, Mahfuz turut mengingatkan bahawa Pas sebelum ini pernah bekerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat untuk tempoh yang lama, dan hal itu tidak pula menjadi masalah.
"Hakikatnya semakin jelas. Politik yang dibina atas ketakutan dan perpecahan tidak akan menguatkan bangsa Melayu atau memartabatkan Islam. Sebaliknya, ia hanya akan melemahkan masyarakat dan merosakkan masa depan negara.
"Apabila perpaduan ditolak, dialog ditutup dan perpecahan terus dipelihara, rakyat berhak menilai sendiri siapa sebenarnya yang menjadi ancaman kepada perpaduan Melayu dan keharmonian umat Islam di negara ini," kata Mahfuz sinis.




Comments