top of page

Pas jangan padam fakta kebajikan Selangor demi propaganda murahan

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
9 hours ago
2 min read

Dakwaan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar bahawa rakyat Selangor masih belum menikmati manfaat daripada kekayaan negeri itu disifatkan sebagai tuduhan dangkal dan tidak berasas.


Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, tuduhan dilempar Mohamed Sukri pada Muktamar Tahunan Pas di Kota Bharu baru-baru ini tidak lebih sekadar naratif politik yang sengaja mengetepikan fakta nyata.


Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri komited memperkasa rakyat menerusi 46 inisiatif Iltizam Selangor Penyayang — merangkumi aspek kebajikan, kesihatan, pendidikan, perumahan, keusahawanan, dan sokongan keluarga.

"BINGKAS (Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor) menyediakan bantuan RM300 sebulan kepada sekitar 30,000 penerima dengan peruntukan kira-kira RM103 juta setahun. Sehingga 7 April 2026, seramai 27,619 penerima telah direkodkan menerima manfaat program tersebut.


"Apabila Pas mengatakan rakyat masih belum merasai manfaat kekayaan Selangor, persoalannya mudah. Mereka yang menerima BINGKAS setiap bulan itu siapa?" soalnya dalam kenyataan.


Menurut Saifuddin, bantuan disalurkan tidak terhad kepada BINGKAS, sebaliknya turut merangkumi Skim Air Darul Ehsan, Jelajah Ehsan Rahmah, bantuan kesihatan, baik pulih rumah, bantuan warga emas serta pelbagai program kebajikan lain.


Sebagai langkah proaktif menangani krisis tenaga dunia, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai lebih RM130 juta merangkumi bantuan barangan asas, baucar kepada rakyat, subsidi pengangkutan awam, sarapan percuma di sekolah serta bantuan kepada sektor berkaitan


"Jadi, mereka yang mendapat manfaat jualan murah, subsidi, bantuan kesihatan, bantuan pendidikan dan pelbagai program kebajikan negeri itu siapa?" soalnya lagi.


Dalam pada itu, Saifuddin berkata, sasaran Pas untuk memenangi sekurang-kurangnya 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 12 kerusi Parlimen di Selangor merupakan impian yang dibenarkan dalam sistem demokrasi.


Namun tambahnya, sekiranya Pas benar-benar mahu menawarkan diri untuk mentadbir Selangor, parti itu perlu tampil dengan dasar dan kemampuan yang jelas, bukannya menjaja naratif seolah-olah segala usaha Kerajaan Negeri selama ini tidak pernah wujud.


"Perbezaan antara kritik yang bertanggungjawab dengan propaganda politik cukup jelas. Kritik menawarkan penambahbaikan. Propaganda pula memadam fakta demi membina cerita sendiri.


"Politik yang matang bukan pertandingan siapa paling pandai mencipta persepsi, tetapi siapa yang mampu membuktikan dasar, kemampuan dan rekod kepada rakyat," tegasnya.


Menerusi kenyaaan tersebut Saifuddin mengakui Selangor mempunyai ruang untuk penambahbaikan. Beliau turut menyatakan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperbaiki setiap iltizam dilaksana agar setara keperluan semasa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page