top of page

Pas jangan ghairah kejar kemenangan, 'janji syurga' beli undi

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Pemimpin Pas diingatikan agar tidak terlalu ghairah mengejar kemenangan politik sehingga sanggup jadikan syurga sebagai "mata wang" untuk membeli undi rakyat.


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata Pas boleh meminta rakyat menyokong dan mengundi parti itu namun ia tidak pernah diberi mandat oleh Allah SWT untuk menentukan siapa yang akan masuk syurga.


"Syurga bukan milik Pas. Syurga milik Allah. Jangan sampai Pas berlagak seperti penjaga pintu syurga, siapa pangkah Pas dibukakan pintu, siapa tidak pangkah pula disuruh menunggu di luar," katanya dalam kenyataan hari ini.


Laporan media tempatan sebelum ini memetik kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengaitkan keahlian, sokongan dan undi kepada Pas dengan peluang memperoleh syurga.


Kenyataan berkenaan mencetuskan reaksi dan kritikan daripada pihak lawan politik yang mempersoalkan tindakan menggunakan soal syurga dan neraka dalam kempen politik.


Mahfuz berkata kenyataan menyokong atau menyertai Pas boleh membawa seseorang ke syurga merupakan kenyataan yang sangat berat dan perlu ditegur dengan tegas.


Beliau turut mempersoalkan sejak bila kertas undi menjadi pasport ke akhirat dan sejak bila sebuah parti politik diberikan kuasa untuk menentukan destinasi akhirat manusia.


"Islam mengajar bahawa kedudukan manusia di sisi Allah SWT ditentukan oleh iman, takwa, amal soleh, keadilan, amanah dan rahmat Allah SWT.


"Ia bukan ditentukan oleh warna bendera, logo parti atau nombor calon di atas kertas undi," ujarnya.


Beliau juga bimbang kenyataan sedemikian boleh mewujudkan persepsi bahawa orang Islam yang memilih parti lain seolah-olah berada pada jalan yang salah dan tidak “berbau syurga”.


"Kalau undi Pas tiket ke syurga, apa pula nasib orang Islam yang tidak undi Pas?


"Kalau jadi ahli, undi dan sokong Pas membawa ke syurga, adakah orang Islam yang tidak jadi ahli, tidak mengundi dan tidak sokong Pas akan dianggap masuk neraka?" tanyanya.


Mahfuz turut menggunakan analogi sinis dengan menyifatkan Pejabat Pas bukan “kaunter Imigresen akhirat” yang boleh memberikan cop syurga berdasarkan sijil keahlian atau sokongan politik.


"Pejabat Pas bukan kaunter Imigresen akhirat. Tunjuk Sijil Ahli Pas dan Undi Pas dapat cop syurga.


"Ini bukan cara yang sihat untuk membawa Islam dalam politik. Pas bukan agama. Islam jauh lebih besar daripada Pas," katanya.


Mahfuz berkata, sekiranya benar mahu menjadikan politik sebagai perjuangan Islam, parti politik sepatutnya mengetengahkan persoalan amanah, keadilan, rasuah, kemiskinan, pendidikan, kebajikan rakyat dan akhlak pemerintahan.


Katanya, perjuangan Islam dalam politik perlu ditunjukkan melalui pentadbiran dan perbuatan, bukannya dengan mendakwa sokongan kepada parti tertentu sebagai tiket ke akhirat.


Tegas beliau soal kedudukan manusia di akhirat merupakan hak mutlak Allah SWT dan tidak boleh dijadikan alat untuk mendapatkan sokongan politik.


"Jangan kerana mahu menang pilihanraya, syurga dijadikan umpan dan agama dijadikan senjata.


"Undi rakyat jangan diperdagangkan dengan janji syurga. Syurga bukan milik Pas. Syurga milik Allah," katanya lagi.

1 Comment


Leon Kennedy
an hour ago

El contenido sobre notitimba quiniela puede resultar interesante para quienes desean comprender mejor la relación entre los resultados y este tipo de sorteos. Tener la información organizada facilita la consulta y permite al lector familiarizarse con los términos sin complicar demasiado la lectura.

Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page