Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam artikel tulisannya yang terbaru cuba menggambarkan parti politik pimpinannya sebagai beristiqomah memperkasakan Islam di Malaysia. Perbezaan Pas sebagai sebuah parti politik berbanding parti politik lain di Malaysia adalah mereka tidak berlumba-lumba berebut jawatan dan peluang kekayaan.
Pas juga dianggap hebat oleh Hj Hadi kerana parti itu bukan sekadar menumpang kekuatan parti politik lain tanpa ahli dan cawangan sendiri, ahli dan cawangan Pas tetap hidup di negeri yang tidak ada kerusi DUN atau Parlimen yang dimenangi. Hj Abdul Hadi meletakkan Pas dalam kategori yang tersendiri berdasarkan wawasannya yang mahukan ganjaran berkekalan daripada dunia hingga akhirat.
Parti maksum?
Penterjemahan Tan Sri Hj Hadi terhadap perjuangan politik Pas seolah-olah parti politik tersebut maksum dari kesalahan ahlinya, tidak seperti parti politik lain di Malaysia yang pada pendapat beliau boleh dibeli dengan pangkat dan harta.
Namun hakikatnya, Pas dan ahlinya tidak ada bezanya dengan parti politik lain di Malaysia yang sentiasa meninjau peluang merebut pangkat dan dana. Perkara ini belaku di negeri yang berada di bawah pemerintahan Pas terkait jawatan Menteri Besar seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah menjelang Pilihan Raya Negeri 2023. Berlaku perebutan sengit secara dalaman antara pimpinan Pas untuk menduduki jawatan Menteri Besar di tiga buah negeri yang diterajui oleh parti tersebut.
Pendedahan UMNO
Malah menurut pendedahan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan sifat meminta jawatan oleh pimpinan Pas apabila menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden UMNO dengan timbal balas diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri JPM (Agama Islam) terserlah dalam usaha menumbangkan Kerajaan Madani.
Pas juga pada pandangan Hj Hadi punya kekuatan tersendiri kerana tidak menumpang kekuatan parti politik lain, namun data menunjukkan bahawa Pas sehingga tahun 2021 hanya mempunyai 197 Kawasan daripada 222 Parlimen seluruh Malaysia.
Namun parti politik seperti KEADILAN mempunyai Cabang di seluruh 222 kawasan Parlimen tidak pernah pun mendabik dada menyatakan bahawa KEADILAN tidak memerlukan kekuatan dari rakan gabungan lain dalam Pakatann Harapan (PH).
Pas berdiri sendiri
Pas menurut presidennya kelihatan mampu berdiri sendiri tanpa rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), mungkin kenyataan itu ada kebenarannya untuk Pas kekal berkuasa di tiga negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan. Namun sepanjang 15 siri Pilihan Raya Umum (PRU), Pas masih gagal untuk menawan Putrajaya secara sendirian.
Pas juga dianggap berada dalam kategori tersendiri oleh Hj Hadi kerana wawasannya yang mahukan ganjaran berkekalan daripada dunia hingga akhirat. Namun harus diingat bahawa setiap ahli politik yang terjun ke kancah politik mempunyai hasrat dan niat yang sama seperti ahli Pas. Tiada manusia yang menjadi ahli poltik mendambakan kekusutan di dunia hingga akhirat.
Buktinya lihat sahaja perlembagaan setiap parti politik di Malaysia, semua parti politik yang disertai oleh ahli politik mempunyai hasrat untuk memakmurkan negara dan rakyat Malaysia. Kesemua parti politik di Malaysia menjunjung Rukun Negara yang meletakkan kedudukan agama Islam tertinggi menurut Perlembagaan Persekutuan.
Justeru Pas dalam isu tersebut tidaklah eksklusif kerana parti politik lain di Malaysia turut menuntut ahlinya untuk memperoleh ganjaran di dunia dan akhirat sejajar dengan pasak-pasak yang ditanam di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Cubaan tidak menjadi
Kesimpulannya, cubaan Hj Hadi untuk membezakan Pas dengan parti politik lain di Malaysia adalah meleset sama sekali. Pas hanyalah sebuah parti politik yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, sama seperti parti politik lain.
Perlembagaan Pas sebagai sebuah parti politik tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, sama dengan parti politik lain di Malaysia. Pimpinan dan anggota Pas terdedah kepada nafsu dan ketamakan jawatan serta kekayaan dunia, sama seperti parti politik lain di Malaysia.
Justeru meletakkan Pas sebagai parti politik eksklusif yang memperjuangkan Islam di Malaysia adalah satu usaha yang dangkal, hakikatnya Pas adalah sama dengan parti politik lain di Malaysia.
____________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comments