Reformasi Pengurusan Landskap KL: Kehijauan Pokok, Keselamatan Infrastruktur
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 3 min read

Oleh: Lai Chen Heng
ULASAN: Tinjauan lapangan yang saya laksanakan di Bandar Baru Wangsa Maju mendedahkan satu realiti yang semakin meresahkan warga kota iaitu ancaman "bom jangka" daripada pokok-pokok tua yang tidak lagi stabil.
Isu ini mungkin kelihatan remeh pada skala makro, namun bagi penduduk setempat, hal itu merupakan keutamaan kritikal setiap kali hujan lebat. Mimpi ngeri kejadian pokok tumbang yang berlaku kebelakangan ini masih segar dalam ingatan, menuntut satu perubahan drastik dalam cara kita menguruskan ekosistem hijau bandar raya.
Agreasif tanam pokok
Sering kali, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikritik oleh netizen kononnya tidak agresif dalam penanaman pokok. Namun berdasarkan data dalam Pelan Strategik Pengurusan Risiko Pokok Teduhan Kuala Lumpur 2024-2030, setakat Jun 2024, terdapat sebanyak 236,551 batang pokok yang telah direkodkan secara digital dalam sistem e-Pokok.
Isu sebenar bukanlah pada jumlah penanaman yang mana DBKL telah berjaya menanam lebih 1 juta pokok setakat ini, tetapi pada kualiti dan pemilihan spesies. Rekod menunjukkan lebih 3,000 insiden pokok tumbang berlaku dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, iaitu purata 1,000 kes setahun. Statistik ini membuktikan bahawa inisiatif hijau tidak boleh hanya mengejar angka, tetapi wajib memastikan spesies yang ditanam tidak merosakkan infrastruktur jalan dan perparitan pada masa hadapan.
Kestabilan struktur pokok
Sains arborikultur menegaskan bahawa sebatang pokok matang mampu menyerap karbon yang menyamai pelepasan kenderaan sejauh 26,000 batu setahun. Walau bagaimanapun, fungsi ekosistem ini akan gagal jika kestabilan struktur pokok terjejas.
DBKL kini mula beralih daripada spesies berisiko tinggi seperti Angsana, Batai Laut, dan Hujan-hujan (Rain Tree) di kawasan sempit kepada spesies yang lebih mesra infrastruktur seperti Pokok Tecoma, Pokok Doa, dan Pokok Penaga Lilin.
Dari sudut teknikal, reformasi ini menuntut pelaksanaan garis panduan yang lebih ketat:
Zon Perlindungan Akar: Memastikan setiap pembangunan mematuhi Tree Protection Zone (TPZ) bagi mengelakkan gangguan akar.
Penghadang Akar (Root Barrier): Penggunaan penghadang sedalam minimum 1 meter bagi melindungi utiliti bawah tanah.
Pengurusan Strata: Memandangkan kos penebangan pokok besar boleh mencecah RM2,000 hingga RM5,000 sebatang, satu mekanisme bantuan atau subsidi penyelenggaraan untuk kawasan flat kos rendah perlu diwujudkan bagi mengelakkan liabiliti keselamatan kepada penduduk.
Penilaian arboris bertauliah
Sebagai individu yang pernah berkhidmat dalam Lembaga Penasihat DBKL, saya menyeru agar semua lantikan dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), termasuk Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), untuk lebih lantang dan proaktif. Peranan mereka tidak seharusnya terhad kepada kehadiran dalam majlis rasmi semata-mata. Mereka perlu menjadi ejen perubahan yang memperjuangkan reformasi pembangunan bandar yang berasaskan data dan sains.
Pengurusan risiko pokok bukan sekadar cantasan rutin yang sering kali berakhir dengan kegagalan struktur. Ia memerlukan penilaian berkala setiap 6 hingga 12 bulan oleh Arboris Bertauliah bagi mengesan keretakan atau pereputan dalaman, terutamanya di kawasan yang dikenalpasti sebagai "kawasan angin lintang" (seperti di Kepong dan sebahagian Wangsa Maju).
Visi KL 2030: Pembangunan Menegak
Menuju tahun 2030, Kuala Lumpur perlu beralih ke arah model pembangunan yang lebih moden. Ini termasuk mengintegrasikan kawasan hijau di atas bangunan melalui konsep Hijau Menegak (Vertical Greenery) dan Taman Bumbung. Inovasi ini terbukti mampu menurunkan suhu permukaan bangunan sehingga 5°C, sekali gus mengurangkan kesan Urban Heat Island tanpa perlu bersaing dengan ruang infrastruktur bawah tanah yang semakin padat.
Segala garis panduan teknikal dan Pelan Strategik 2024-2030 oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah tersedia. Cabaran utama kini adalah pada kualiti pelaksanaan yang harus disegerakan memandangkan perubahan cuaca yang semakin ekstrem. Dengan berpegang kepada prinsip Kesejahteraan dan Ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI, misi menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Taman Tropika Lestari bukan lagi satu pilihan, tetapi satu mandat yang wajib ditunaikan demi keselamatan setiap warga kota.
Penulis merupakan mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2023-2025




Comments