top of page

PM Anwar mengadap Tuanku Muhriz, selesai isu Undang ikut proses

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Munawir malam tadi bagi membincangkan perkembangan institusi raja dan pentadbiran Kerajaan Negeri, selain menjunjung kasih atas kebijaksanaan baginda dalam menangani perkara ini.


Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri berkata beliau menyokong titah baginda agar Datuk Seri Aminuddin Harun terus menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.


"[Ia] demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri, memelihara kepentingan rakyat serta menjunjung kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa.


"Saya yakin berdasarkan pengalaman dan khidmat cemerlang, beliau akan terus menjalankan tugas dengan sempurna," katanya dalam kenyataan hari ini.


Perdana Menteri menegaskan bahawa persoalan yang melibatkan institusi Undang sedang ditangani melalui saluran serta proses yang sah serta kebijaksanaan pemerintah terbabit.


Jelas beliau, Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh untuk memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.


Dalam apa jua keadaan, keluhuran institusi Raja dan undang-undang negeri mesti terus dipelihara serta dipertahankan, kata beliau.


"Saya juga menyeru rakyat khususnya di Negeri Sembilan terus berhemah, beradab dan menjaga ketertiban terutama dalam membicarakan ehwal institusi Raja dan undang-undang negeri.


"Kemenakan beraja ke mamak, mamak beraja ke muafakat, muafakat beraja kepada kebenaran, dan kebenaran itu berdiri sendiri," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page