top of page

MB Aminuddin laksanakan tugas seperti biasa - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk melaksanakan tugas seperti biasa selaras dengan titah Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


"Setakat ini saya telah minta Menteri Besar (Aminuddin) jalankan (tugas) seperti biasa dan proses undang-undang tidak menghalang.


"Kita juga tidak menghalang proses undang-undang itu diteruskan dengan baik.


"Tidak menyentuh sama ada institusi Raja, atau Undang. Kita muliakan," katanya dipetik Bernama ketika ditemui pemberita selepas sesi Temu Anwar dan peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI di ibu negara.


Semalam, Anwar yang juga Presiden KEADILAN memaklumkan beliau telah menghadap Tuanku Muhriz dan menjunjung kasih atas pertimbangan baginda untuk pertamanya atas titah baginda supaya Aminuddin meneruskan tugas sebagai Menteri Besar demi kepentingan negeri dan kebajikan rakyat.


Hari ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan menyelesaikan kemelut politik di Negeri Sembilan menerusi saluran politik.


Ahmad Zahid berkata, amat penting ketika ini adalah mencari penyelesaian terbaik bagi menentukan kerajaan yang kukuh di Negeri Sembilan supaya dapat terus melayani dan mendepani permasalahan rakyat.


"Saya harap kita ikuti Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan juga peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya di Negeri Sembilan," katanya.


Untuk rekod, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan menarik sokongan terhadap Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat.


Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dilaporkan berkata keputusan dibuat secara sebulat suara membabitkan semua 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page