Konflik Asia Barat: Malaysia Berpeluang Jadi Pendamai
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Sejauh mana konflik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) menggoncang kedudukan Malaysia?
Walaupun konflik ini berlaku ribuan kilometer dari tanah air, hakikatnya Malaysia tidak pernah benar-benar “jauh” daripada kesan geopolitik global.
Tekanan harga minyak dunia
Konflik Iran–AS lazimnya akan memberi tekanan kepada harga minyak dunia. Sebagai negara pengeksport minyak dan gas, Malaysia berpotensi meraih manfaat jangka pendek melalui peningkatan hasil petroleum.
Namun, realitinya lebih kompleks, kos import meningkat terutama ke atas makanan dan bahan mentah. Juga melibatkan tekanan inflasi domestik dan ketidaktentuan pasaran pelaburan.
Jika konflik berpanjangan, ekonomi Malaysia boleh terperangkap dalam “boom sementara” tetapi diikuti ketidakseimbangan fiskal berlaku.
Faktor keselamatan dan radikalisme
Konflik Timur Tengah sering menjadi bahan bakar sentimen agama dan ideologi. Malaysia sebagai negara majoriti Muslim tidak terkecuali daripada tempias ini.

Risiko yang perlu diberi perhatian ialah naratif ekstremisme yang menunggang isu Iran–AS. Termasuk polarisasi masyarakat berasaskan mazhab dan geopolitik.
Penyebaran propaganda melalui media sosial dalam era TikTok dan media digital perlu diberi perhatian. Konflik luar boleh dimanipulasi menjadi konflik persepsi dalam negara.
Ujian keseimbangan Malaysia
Malaysia selama ini mengamalkan dasar berkecuali dan hubungan baik dengan pelbagai blok kuasa. Namun konflik Iran–AS meletakkan Malaysia dalam dilema terutama hubungan strategik dengan Barat, khususnya Amerika Syarikat.
Simpati dan solidariti terhadap dunia Islam, termasuk Iran dalam kalangan majoriti rakyat perlu diambil kira. Keseimbangan ini menuntut kebijaksanaan diplomatik yang tinggi agar Malaysia tidak dilihat memihak secara ekstrem kepada mana-mana blok.
Naratif yang dimanipulasi
Sejarah membuktikan bahawa isu antarabangsa sering dijadikan modal politik tempatan. Konflik Iran–AS berpotensi dijadikan bahan retorik oleh parti politik atas nama Islam.
Digunakan untuk membina imej “juara ummah” yang mengalih perhatian daripada isu domestik. Di sinilah kematangan politik nasional diuji, adakah kita membina solusi atau sekadar menunggang emosi rakyat?
Malaysia suara sederhana di pentas global
Malaysia mempunyai peluang untuk memainkan peranan sebagai pendamai dan suara sederhana yang menyokong dialog dan diplomasi.
Negara ini boleh menjadi contoh mengurus kepelbagaian dalam dunia yang semakin berpecah. Malaysia boleh tampil sebagai jambatan, bukan medan pertelagahan.
Peluang jadi juara perdamaian
Adakah Malaysia bersedia menghadapi gelombang geopolitik baharu, atau sekadar menjadi pemerhati yang pasif?
Konflik Iran–Amerika Syarikat bukan sekadar isu luar negara, ia adalah ujian kepada ketahanan ekonomi, kestabilan sosial dan kebijaksanaan politik Malaysia.
Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, setiap letupan di Timur Tengah berpotensi mencetuskan gegaran di Nusantara. Malaysia perlu bersedia ke hadapan, bukan sekadar bereaksi.




Comments