top of page

AMANAH lapor polis akaun media sosial kaitkan parti kes salah guna dana zakat

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • Apr 25
  • 2 min read
Mejar (B) Razali mahu MCMC segera bertindak menurunkan kandungan fitnah yang mencemar imej AMANAH
Mejar (B) Razali mahu MCMC segera bertindak menurunkan kandungan fitnah yang mencemar imej AMANAH

Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini membuat laporan polis ke atas akaun media sosial yang mengaitkan parti itu dengan kes salah guna dana zakat yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Timbalan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Hayatul Kamil Termudi menyifatkan tuduhan yang ditularkan di media sosial itu sebagai tidak berasas, berniat jahat serta bertujuan mencemarkan imej parti itu.


"AMANAH tak ada kena-mengena dengan NGO berkenaan, Amanah juga tak ada kepentingan untuk mendapat bahagian daripada duit zakat yang diseleweng," katanya pada sidang media selepas laporan polis dibuat di Balai Polis Chow Kit, hari ini.


Beliau turut menegaskan bahawa dakwaan kononnya AMANAH mendapat manfaat daripada dana tersebut merupakan satu fitnah serius yang boleh memberi kesan besar kepada reputasi parti yang mempunyai ratusan ribu ahli di seluruh negara.


"Liputan fitnah ini memberi gambaran seolah-olah AMANAH terlibat dalam penyelewengan wang zakat. Ini tidak boleh dimaafkan dan tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang menyebarkannya," katanya lagi.


Sementara itu, Pengerusi Biro Komunikasi AMANAH Wilayah Persekutuan, Mejar (B) Razali Zakaria, memaklumkan bahawa laporan polis dibuat ke atas hantaran Facebook yang didakwa menyebarkan tuduhan serta mengaitkan AMANAH dengan NGO terbabit tanpa asas yang sah.


Menurut beliau, hantaran tersebut mengandungi pautan yang cuba menggambarkan wujudnya “formula mencuri duit zakat” serta mengaitkan NGO tersebut dengan parti AMANAH yang sama sekali tidak terlibat.


"Kami melihat ini sebagai satu bentuk fitnah dan hasutan di media sosial. Ia tidak melambangkan fakta sebenar dan hanya mencetuskan persepsi salah dalam kalangan masyarakat," katanya.


Beliau turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar segera menurunkan kandungan berkenaan serta mengambil tindakan terhadap penyebaran maklumat tidak tepat itu.


"Kami mohon tindakan segera diambil kerana kesannya amat besar, bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada kepercayaan masyarakat," ujarnya.


Tambah beliau, AMANAH Wilayah Persekutuan akan bekerjasama dengan pimpinan AMANAH di negeri-negeri lain bagi memastikan penyebaran maklumat palsu dapat dibanteras secara menyeluruh.

Pemimpin muda AMANAH mahu imej parti itu dibersihkan daripada fitnah dikaitkan dengan NGO disasat SPRM
Pemimpin muda AMANAH mahu imej parti itu dibersihkan daripada fitnah dikaitkan dengan NGO disasat SPRM

Sementara itu, Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Faris Arifin, menegaskan bahawa sebarang penyalahgunaan dana adalah melibatkan individu tertentu dan tidak ada kaitan dengan parti.


"Tindakan mengaitkan perkara ini dengan Amanah adalah bersifat prejudis, tidak berasaskan fakta dan jelas merupakan satu fitnah," katanya.


Beliau berkata pihaknya komited untuk membersihkan nama parti serta memastikan keadilan ditegakkan, khususnya kepada golongan yang layak menerima zakat.


"Zakat adalah untuk membantu mereka yang memerlukan, bukan untuk kepentingan individu tertentu.


"Kami mahu keadilan ditegakkan kepada pihak yang berhak," ujarnya lanjut.


SPRM kini dalam siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM230 juta dikaitkan dengan sebuah NGO dan sehingga kini tiga individu telah ditahan, termasuk seorang timbalan pengerusi NGO dan dua pengarah syarikat.


Siasatan awal mendapati dana tersebut disyaki disalah guna bagi tujuan pelaburan dan kegunaan peribadi antara tahun 2018 hingga 2024.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan sebelum ini berkata dana RM230 juta tersebut adalah daripada sumbangan kepada NGO tersebut dan bukannya terus daripada institusi zakat rasmi atau badan zakat negeri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page