top of page

MBM bimbing belia Kg Cherok Paloh mohon geran Sejati MADANI X Belia

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Belia Kg Cherok Paloh mendengar taklimat Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) X Belia
Belia Kg Cherok Paloh mendengar taklimat Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) X Belia

Ahli Majlis Belia Malaysia (MBM), Amar Abdul Latif turun padang ke Kampung Cherok Paloh, bagi memberikan taklimat serta panduan permohonan Geran Sejati MADANI X Belia kepada golongan belia setempat.


Lawatan itu diadakan susulan jemputan Ketua Ranting KEADILAN Cherok Paloh, Nor Adnan Mohd Nor yang juga Ahli Jawatankuasa KEADILAN Cabang Kuantan.


Menurut Amar, program berkenaan bertujuan memastikan belia luar bandar tidak ketinggalan menikmati manfaat Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) X Belia yang dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufik Johari pada 8 Februari lalu.


"Ramai belia luar bandar ada idea yang bagus tetapi kurang pendedahan tentang cara memohon dana kerajaan. Hari ini kita bimbing mereka dari A sampai Z, termasuk cara menyediakan kertas kerja ringkas dan dokumen sokongan," katanya selepas sesi berkenaan.

Antara belia dan pimpinan yang mengikuti taklimat Program Sejahtera Komuniti MADANI X Belia
Antara belia dan pimpinan yang mengikuti taklimat Program Sejahtera Komuniti MADANI X Belia

Dalam program yang disertai kira-kira 50 belia itu, Amar turut menerangkan syarat kelayakan, skop projek serta langkah permohonan geran yang menyasarkan belia berusia 18 hingga 30 tahun.


Geran tersebut meliputi lima bidang utama iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.


Selain taklimat, beliau turut membuka sesi soal jawab serta menyemak draf cadangan projek peserta sebagai galakan untuk mereka mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup.


Sementara itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Ranting Kampung Cherok Paloh, Nor Aliff Najmi menyifatkan program tersebut sebagai tepat pada masanya.


"Kami di kampung memang menunggu peluang seperti ini. Dengan adanya bimbingan terus, belia di sini lebih yakin untuk mohon," katanya.


Program itu turut dihadiri Ketua Cabang Keadilan Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi dan Ketua Wanita Keadilan Kuantan, Sridayu Samsuri.


Geran Sejati MADANI X Belia merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bagi merancakkan penglibatan belia dalam pembangunan negara berteraskan nilai Malaysia MADANI, dengan permohonan dibuka secara dalam talian dan dijangka memberi manfaat kepada ribuan belia di seluruh negara, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page