Kerajaan pertimbang turun cukai jalan kenderaan diesel


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Pengangkutan meneliti kemungkinan menurunkan kadar cukai jalan untuk kenderaan diesel dalam usaha mengurangkan beban rakyat.
Beliau berkata, cadangan itu dibuat susulan peningkatan kos bahan api diesel yang memberi kesan langsung kepada pengguna, khususnya dalam sektor logistik dan perniagaan kecil.
"Turun harga minyak sekarang ini kita tak mampu, tetapi cukai jalan itu boleh kita pertimbangkan untuk dikurangkan," katanya pada Majlis Sambutan Hari JPJ ke-80 dan Karnival Mega JPJ Madani yang berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, serta pegawai kanan kerajaan dan wakil industri.
Menurutnya, walaupun kerajaan belum mampu menurunkan harga minyak diesel buat masa ini, pengurangan cukai jalan merupakan antara langkah praktikal yang boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
"Saya minta Menteri Pengangkutan bersama Ketua Setiausaha kementerian mencari jalan supaya dalam tempoh terdekat, kita boleh turunkan cukai jalan bagi kenderaan diesel. Itu boleh dilaksanakan," ujarnya.
Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan ketika ini berdepan kekangan kewangan yang besar berikutan keperluan menampung subsidi bahan api, termasuk peruntukan tambahan yang mencecah RM7 bilion sebulan bagi penyasaran subsidi RON95.
Beliau berkata, situasi itu turut dipengaruhi oleh ketidaktentuan global, termasuk konflik berterusan di Asia Barat yang memberi tekanan kepada harga minyak dunia.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa terdapat kira-kira 1.8 juta kenderaan diesel berdaftar di negara ini, sekali gus menunjukkan skala besar pengguna yang bakal menerima manfaat sekiranya cadangan itu dilaksanakan.
Perdana Menteri turut menyarankan agar pihak berkepentingan, termasuk pemain industri, mengemukakan pandangan dan cadangan kepada Kementerian Pengangkutan bagi memastikan pelaksanaan langkah itu lebih menyeluruh dan berkesan.
Langkah yang dicadangkan itu dilihat sebagai sebahagian pendekatan bersasar kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup, tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara secara keseluruhan.



Comments